KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Perbicaraan kes Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia Muhammad Hilman Idham, yang didakwa membuat kenyataan menimbulkan kegentaran awam melalui laman sosial TikTok, akan bermula pada awal Mac tahun depan di Mahkamah Majistret di sini.
Majistret Nurul Izzah Hasan Basri menetapkan tarikh perbicaraan pada 2 dan 3 Mac 2026 selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman memaklumkan pihaknya telah menyerahkan dokumen berkaitan kes itu kepada pembelaan.
Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, yang mewakili Muhammad Hilman, mengesahkan telah menerima dokumen itu daripada pihak pendakwaan.
Ketika ditemui pemberita selepas prosiding kes itu, Muhammad Rafique berkata anak guamnya bersedia untuk perbicaraan dan tidak berhasrat memfailkan permohonan bagi membatalkan pertuduhan tersebut.
Pada 20 Ogos lepas, Muhammad Hilman, 36, didakwa membuat kenyataan itu, yang mungkin boleh menimbulkan kegentaran awam dan mendorong mana-mana orang supaya melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam, di TikTok pada 2.09 petang 30 Julai lepas, dan pautan TikTok tersebut dilihat oleh seorang anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersil di Menara KPJ di sini.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial