GEORGE TOWN, 9 Okt (Bernama) -- Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berharap kerajaan mempertimbangkan untuk memperkenalkan cukai jualan rokok yang lebih tinggi dalam Belanjawan 2026 sebagai sebahagian daripada usaha mengurangkan tabiat merokok dan mempromosikan kesihatan awam.
Pegawai Pendidikan CAP N.V. Subbarow berkata sudah beberapa tahun produk rokok tidak dikenakan cukai jualan, dengan kali terakhir cukai itu dikenakan ke atas produk tembakau ialah pada 2018.
“Perokok membelanjakan kira-kira RM500 setiap bulan, oleh itu CAP menjangkakan cukai jualan mandatori ke atas rokok dalam Belanjawan 2026 sekiranya kerajaan mahu mengurangkan jumlah perokok sekarang yang mencecah lima juta.
"Harga mahal menjadikan produk tembakau kurang mampu milik, yang mengurangkan penggunaan secara keseluruhan dan menggalakkan pengguna sedia ada untuk berhenti atau mengurangkan tabiat merokok mereka selain menyukarkan golongan muda untuk mula merokok, sekali gus mengurangkan secara signifikan langkah permulaan mengambil produk tembakau," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata hasil tambahan yang dikutip melalui cukai tembakau juga boleh menyokong inisiatif kesihatan, termasuk program-program yang bertujuan membantu rakyat Malaysia berhenti merokok.
Merujuk kepada bukti antarabangsa, Subbarow berkata Agensi Antarabangsa untuk Penyelidikan Kanser (IARC) menyimpulkan menaikkan cukai bagi meningkatkan harga rokok menunjukkan dapat mengurangkan penggunaan tembakau, permulaan serta penggunaan secara keseluruhan.
Beliau berkata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan pendekatan harga dan cukai sebagai cara berkesan untuk mengurangkan penggunaan tembakau, satu dasar yang didapati memberi kesan positif di banyak negara.
“CAP percaya kerajaan MADANI yang prihatin di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan berita baik mengenai cukai rokok dalam Belanjawan 2026,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan dijadualkan membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial