DUNIA

Ringgit Ditutup Rendah Berbanding Dolar AS

08/10/2025 07:50 PM

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS di tengah-tengah sentimen berhati-hati dalam pasaran mata wang, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, mata wang tempatan berada pada 4.2140/2195 berbanding dolar AS, susut sedikit daripada paras penutup 4.2125/2155 pada Selasa.

“Dolar AS/ringgit diniagakan dalam jajaran kecil RM4.21 hingga RM4.22 apabila peniaga dan pelabur terus mengambil pendekatan berhati-hati berhubung ekonomi Amerika Syarikat (AS) susulan penutupan operasi kerajaan yang masih berterusan,” kata ketua ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid kepada Bernama.

Beliau berkata pembentangan Belanjawan 2026 pada Jumaat ini sedikit sebanyak boleh menentukan arah aliran ringgit pada masa depan.

"Sekiranya kerajaan terus mengekalkan disiplin fiskal, ini boleh membawa kepada peningkatan nilai ringgit. Buat masa ini pelabur mengambil pendekatan tunggu dan lihat berikutan keadaan luaran yang tidak menentu," katanya.

Pada penutup dagangan, ringgit ditutup tinggi berbanding mata wang utama lain. 

Unit tempatan meningkat berbanding euro kepada 4.8941/9005 daripada 4.9135/9170 pada Selasa, mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.7559/7596 daripada 2.7938/7960 dan menokok berbanding pound Britain kepada 5.6501/6575 daripada 5.6620/6661 sebelumnya. 

Ringgit juga ditutup kebanyakannya tinggi berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain.

Unit tempatan meningkat berbanding baht Thai kepada 12.9506/9739 daripada 12.9532/9688 pada Selasa, naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2503/2548 daripada 3.2587/2613 dan menokok berbanding rupiah Indonesia kepada 254.2/254.7 daripada 254.3/254.6.

Bagaimanapun, ringgit turun berbanding peso Filipina kepada 7.27/7.28 daripada 7.25/7.26 pada Selasa.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan