AM

Stesen Bukit Jalil Beroperasi Hingga 12.30 Tengah Malam Sempena Himpunan Solidariti Gaza

08/10/2025 05:10 PM

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Perkhidmatan LRT Stesen Bukit Jalil dilanjutkan hingga 12.30 tengah malam ini, bersempena dengan Himpunan Solidariti Bersama Gaza yang akan berlangsung di Arena Axiata, Bukit Jalil.

Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) selaku pengendali perkhidmatan rel Rapid KL memaklumkan perkhidmatan tren tambahan akan disediakan bagi memastikan kelancaran pergerakan penumpang serta  memudahkan mereka pulang ke destinasi masing-masing dengan selesa.

“Stesen-stesen lain akan menamatkan operasi seperti biasa namun penumpang masih dibenarkan keluar di stesen berkenaan bagi meneruskan perjalanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Rapid Rail, beberapa stesen pertukaran terpilih turut dilanjutkan waktu operasi melibatkan laluan Kelana Jaya di stesen Masjid Jamek; Ampang/Sri Petaling (stesen Masjid Jamek, Plaza Rakyat, Hang Tuah, Chan Sow Lin, Maluri dan Sungai Besi) serta Monorel (stesen Hang Tuah).

Selain itu, laluan Kajang melibatkan stesen Pasar Seni, Merdeka, Tun Razak Exchange (TRX) dan Maluri; serta laluan Putrajaya adalah di stesen TRX, Chan Sow Lin dan Sungai Besi. 

Penumpang digalakkan menggunakan kad Touch ‘n Go bagi menikmati perjalanan yang lebih lancar manakala pengguna token disarankan membeli token pergi dan balik lebih awal sebelum keluar dari stesen.

Penumpang juga boleh merujuk saluran media sosial rasmi Rapid KL atau aplikasi PULSE untuk maklumat terkini.

Himpunan Solidariti Bersama Gaza dijadualkan berlangsung 8 malam ini bagi menzahirkan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin bersama wira dan wirawati yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) baru-baru ini.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan