JENAYAH & MAHKAMAH

Tiada Anggota PDRM Cedera Dalam Insiden Bot Berlanggar Di Iskandar Puteri - Ketua Polis Johor

08/10/2025 01:59 PM

JOHOR BAHRU, 8 Okt (Bernama) -- Tiada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) cedera dalam insiden pelanggaran antara bot Pasukan Polis Marin (PPM) dengan sebuah bot yang membawa 10 migran warga Indonesia di perairan Iskandar Puteri, awal pagi tadi.

Ketua Polis Johor CP Datuk Ab Rahaman Arsad berkata insiden itu berlaku pada kira-kira 3 pagi ketika pasukan PPM menjalankan rondaan rutin di kawasan perairan berkenaan.

“Tiada kecederaan di pihak PDRM manakala lima daripada 10 migran warga Indonesia cedera dan telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata semua migran dipercayai cuba memasuki perairan negara secara haram dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Ab Rahaman juga berkata maklumat terperinci termasuk jumlah anggota yang terlibat dan kronologi kejadian akan dimaklumkan menerusi kenyataan rasmi yang akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Daerah Johor Bahru dalam kenyataan hari ini memaklumkan menerima panggilan kecemasan mengenai insiden tersebut menerusi talian MERS 999 pada 3.58 pagi sebelum sepasukan anggotanya digerakkan ke lokasi kejadian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan