AM

Misi Kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition Dijangka Masuk Zon Merah Esok

07/10/2025 11:20 PM

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) ke Gaza dijangka memasuki zon merah pada 5 petang waktu Malaysia esok, sekali gus semakin hampir ke kawasan berisiko tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata misi itu membabitkan sembilan kapal termasuk Conscience dan Umm Saad, yang kini berada di zon kuning kira-kira 180 batu nautika dari perairan Gaza.

“Kesemua kapal bergerak pada kelajuan sekitar 4 knot, dengan Conscience mula berlayar pada 9.30 pagi tadi sebelum berhenti hampir 30 jam untuk latihan serta menunggu kapal kecil lain,” katanya pada sidang media di ibu pejabat MyCARE di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.

Kamarul Zaman berkata Ketua Delegasi Malaysia di kapal Conscience Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin memaklumkan semua peserta bersetuju bertemu pada jarak kira-kira 150 batu nautika dari Gaza, kawasan yang berpotensi berdepan penahanan tentera Israel.

“Kebiasaannya, taktik serangan oleh Israel dilakukan pada waktu malam. Jadi, malam Rabu dan Khamis dijangka menjadi detik paling kritikal sebelum mereka memasuki zon merah.

“Kami mohon semua terus berdoa agar mereka diberi kekuatan dan insya-Allah, jika diizinkan Allah mereka akan mendarat di Gaza untuk berkhidmat kepada rakyat di sana,” katanya.

Beliau turut menyampaikan mesej peserta misi Dr Fauziah Mohd Hasan, yang menyeru masyarakat antarabangsa supaya terus menekan rejim Zionis.

“Semua lapisan masyarakat harus bangkit memberi tekanan kepada Israel serta sekutunya untuk berhenti melakukan perkara yang menambah kesengsaraan rakyat Palestin,” kata Dr Fauziah, yang turut menggesa penganjuran himpunan aman sebagai tanda solidariti sehingga semua sukarelawan dibebaskan daripada tahanan Israel.

Sementara itu, Zulkifli berkata pihaknya menerima taklimat daripada MyCARE mengenai perkembangan misi berkenaan.

“Walau apa pun yang berlaku, kita mesti bersedia dan saya menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa atau ideologi untuk bersama memberikan sokongan.

“Ini adalah isu kemanusiaan sejagat. Banyak pihak antarabangsa telah mengisytiharkan apa yang berlaku di Gaza sebagai jenayah genosid dan kita perlu bersatu atas nama kemanusiaan untuk menghentikan kekejaman ini,” katanya.

Zulkifli turut berinteraksi dengan peserta misi melalui sidang video pada majlis itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan