DUNIA

Pasaran Getah Malaysia Ditutup Rendah, Sejajar Dengan Niaga Hadapan Serantau

07/10/2025 09:13 PM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia ditutup rendah pada Selasa, menjejaki aliran menurun dalam niaga hadapan getah serantau selain dipengaruhi ringgit yang kekal mendatar berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), kata peniaga.

Beliau berkata sentimen pasaran juga terjejas ekoran kebimbangan terhadap penutupan berpanjangan kerajaan AS, ditambah dengan ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi serta ketiadaan pembeli dari China berikutan cuti Hari Kebangsaan.

“Bagaimanapun, penurunan seterusnya telah dikekang oleh harga minyak mentah yang stabil dan prospek ekonomi China yang semakin baik walaupun peniaga bimbang mengenai kekurangan bekalan getah asli akibat musim hujan di negara-negara pengeluar utama,” katanya kepada Bernama.

Bank Dunia baru-baru ini menaikkan unjuran pertumbuhan China bagi 2025 kepada 4.8 peratus dan turut menyemak naik unjuran bagi sebahagian besar negara tu.

Bagaimanapun, Bank Dunia juga mengingatkan momentum itu mungkin perlahan pada tahun hadapan disebabkan keyakinan pengguna dan perniagaan yang lemah serta pesanan eksport baharu yang suram.

Pada 3 petang, harga rujukan bagi getah fizikal Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) turun tujuh sen kepada 730.5 sen sekilogram manakala lateks pukal susut satu sen kepada 572 sen sekilogram.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan