DUNIA

UEFA Berat Hati Lulus Perlawanan La Liga, Serie A Di Luar Negara Asal

07/10/2025 11:23 AM

ISTANBUL, 7 Okt (Bernama-Anadolu) -- UEFA pada Isnin mengumumkan bahawa pihaknya secara berat hati meluluskan permohonan bagi perlawanan LaLiga Sepanyol antara Villarreal dan Barcelona, serta perlawanan Serie A Itali antara AC Milan dan Como untuk diadakan di luar negara asal masing-masing, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Dalam kenyataannya pada Isnin, UEFA memaklumkan bahawa Jawatankuasa Eksekutifnya membuat keputusan itu secara “pengecualian khas” selepas mempertimbangkan rayuan rasmi yang dikemukakan kedua-dua penganjur liga berkenaan.

Perlawanan LaLiga membabitkan Villarreal menentang Barcelona akan diadakan di Miami, Amerika Syarikat pada Disember ini, manakala aksi Serie A antara AC Milan dan Como dijadual berlangsung di Perth, Australia pada Februari depan.

Presiden UEFA Aleksander Ceferin menegaskan bahawa semua perlawanan liga sepatutnya berlangsung di negara asal masing-masing, sambil mengingatkan bahawa langkah bermain di luar negara boleh “menyisihkan penyokong setia” serta mencetuskan ketidakseimbangan dalam saingan domestik.

“Walaupun amat dikesali untuk membenarkan dua perlawanan ini diteruskan, keputusan ini bersifat luar biasa dan tidak boleh dianggap sebagai duluan,” katanya.

Menurut UEFA, keputusan itu diambil kerana kekaburan dalam rangka peraturan FIFA yang sedia ada, yang tidak memberikan panduan jelas bagi menghalang penganjuran perlawanan liga di luar negara asal.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan