KOTA KINABALU, 5 Okt (Bernama) -- Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mahu semua koperasi wanita khususnya di Sabah melonjakkan prestasi pencapaian perolehan mereka.
Beliau berkata setakat ini, terdapat 250 koperasi wanita berdaftar di seluruh negara melibatkan pencapaian perolehan RM16.2 juta, dengan di Sabah, 33 koperasi wanita merekodkan pencapaian perolehan RM1.3 juta.
“Pencapaian perolehan bagi koperasi wanita di negeri ini sangat minimum berbanding lebih 1,900 koperasi di Sabah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Seminar Kepimpinan dan Keusahawanan Koperasi Wanita di sini hari ini.
Turut hadir Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA) Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah, Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia Datuk Mohd Ali Mansor dan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia Noor Afifah Abdul Razak.
Sehubungan itu, Ewon berkata penganjuran seminar berkenaan di Sabah untuk kali pertama merupakan antara usaha membantu melonjakkan prestasi koperasi wanita di negeri tersebut.
Seminar itu juga langkah awal untuk membantu koperasi terlibat supaya dapat menyampaikan maklumat pelbagai agensi selain memberi motivasi dan galakan kepada koperasi wanita.
Terdahulu, Ewon semasa berucap berkata penganjuran seminar untuk wanita itu dapat memberi galakan kepada warga koperasi dan usahawan wanita untuk terus relevan, berdaya saing dan berkembang maju.
Ia sekali gus menyokong pencapaian objektif Dasar Koperasi Malaysia (DaKoM) 2030, Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030 dan Pelan Transformasi Koperasi (TransKom) 2021-2025.
“Inisiatif Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) ialah membantu memudahkan aktiviti perniagaan koperasi serta usahawan di Malaysia melalui agensi.
“Pelbagai insentif bersesuaian dengan keperluan usahawan dan koperasi termasuk di Sabah dan Sarawak telah diwujudkan di bawah Kerajaan MADANI,” katanya.
Seminar kepimpinan dua hari yang berakhir hari ini, disertai 150 peserta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial