AM

Malaysia Tidak Akan Berkompromi Dengan Kezaliman Israel – TPM Ahmad Zahid

02/10/2025 11:24 AM

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengecam keras tindakan Israel menyekat misi bantuan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza yang membawa sukarelawan serta bekalan penting untuk rakyat Palestin.

Beliau menegaskan tindakan Israel itu jelas memperlihatkan wajah sebenar rejim penjajah yang tidak menghormati undang-undang, nyawa manusia, dan sanggup menindas usaha kemanusiaan.

“Dunia sekali lagi menyaksikan wajah sebenar Israel sebagai sebuah rejim penjajah yang tidak menghormati undang-undang, tidak menghormati nyawa, malah sanggup menindas misi bantuan Global Sumud Flotilla ke Gaza.

“Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak berperikemanusiaan ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, kapal-kapal terbabit sepatutnya membawa simbol solidariti, kasih sayang dan harapan dunia terhadap Palestin, namun sebaliknya berdepan intimidasi, kekerasan serta paksaan oleh rejim Israel.

“Tindakan Israel bukan sahaja kezaliman terhadap rakyat Gaza, tetapi juga penghinaan terhadap suara kemanusiaan sejagat,” katanya.

Beliau menegaskan Malaysia akan terus menggunakan segala saluran sah bagi memastikan Israel dipertanggungjawabkan, khususnya berkaitan keselamatan warganegara Malaysia yang menyertai misi itu.

“Keselamatan rakyat adalah keutamaan, dan dalam hal ini kerajaan tidak akan berkompromi,” tegasnya.

Ahmad Zahid berkata beliau mengikuti rapat perkembangan misi sejak awal, termasuk berhubung secara langsung dengan sukarelawan kemanusiaan dari Malaysia.

“Saya tahu dugaan mereka amat besar dan cabaran yang dihadapi tidak mudah. Namun doa seluruh rakyat Malaysia sentiasa bersama mereka. Semoga Allah SWT melindungi serta mengurniakan kekuatan untuk mereka meneruskan misi mulia ini,” katanya.

Ahmad Zahdi berkata Malaysia akan terus berdiri teguh bersama Palestin sehingga keadilan dan kebebasan mutlak menjadi milik rakyat negara itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan