JENAYAH & MAHKAMAH

Tertembak Di Batu Caves, Mayat Lelaki Disangka Haiwan Buruan Ditinggalkan Di Bukit Merah

30/09/2025 06:58 PM

IPOH, 30 Sept (Bernama) -- Tiga lelaki yang didakwa tertembak seorang rakan hingga maut semasa berburu haiwan di Batu Caves, Selangor tergamak membawa pulang dan meninggalkan mayat mangsa di Kampung Selamat, Semanggol dekat Bagan Serai, awal pagi semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian menerima panggilan daripada orang awam pada 3.55 pagi memaklumkan mangsa yang berusia 43 tahun ditemukan meninggal dunia.

“Pemeriksaan awal mendapati terdapat tiga kesan di bahagian belakang badan mangsa disyaki akibat terkena tembakan dan proses bedah siasat akan dijalankan di Hospital Taiping esok,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Noor Hisam berkata polis menahan dua lelaki berusia 32 dan 33 tahun di Kampung Selamat, Semanggol pada 12.30 tengah hari semalam, dengan seorang daripadanya mempunyai pertalian saudara dengan mangsa, manakala seorang lagi suspek 36 tahun ditahan di Batu Caves 8.30 malam hari sama.

Siasatan mendapati kejadian berlaku kerana mangsa disangkakan haiwan buruan semasa mereka berburu kira-kira 8 malam Ahad lepas.

“Selepas kejadian, mereka sepakat membawa mangsa ke Semanggol menggunakan sebuah kenderaan dengan diiringi dua kenderaan lain. Mangsa ditinggalkan di tepi jalan tidak berturap untuk mencipta cerita lain daripada kejadian sebenar,” katanya.

Noor Hisam berkata polis merampas sebuah kenderaan jenis Toyota Vellfire, Mazda dan Toyota Hilux, dua laras senapang buatan sendiri, 11 butir peluru 12 Bore serta empat telefon bimbit.

“Tiga suspek itu direman selama seminggu bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis giat mengesan seorang lagi suspek dipercayai turut terlibat,” katanya.

Noor Hisam berkata orang ramai mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kerian ASP Ambri Mat Nayan menerusi talian 012-5306567 atau IPD Kerian 05-7215222.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan