GEORGE TOWN, 30 Sept (Bernama) -- Pulau Pinang terus komited memperkasa sektor koperasi menerusi pemberian Geran Mutiara MADANI sebanyak RM200,000 pada tahun ini dalam membantu gerakan koperasi mengembangkan potensi perniagaan mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi negeri Fahmi Zainol berkata geran itu adalah suntikan awal kepada koperasi yang memerlukan dan antara inisiatif kerajaan negeri mengaktifkan semula koperasi yang kurang aktif selain membantu koperasi kecil mengembangkan potensi perniagaan mereka.
“Tahun lepas, kerajaan negeri telah meluluskan Geran Mutiara MADANI kepada 60 koperasi seluruh negeri berjumlah RM200,000 dan tahun ini kita teruskan geran tersebut dengan nilai peruntukan yang sama.
"Geran ini adalah suntikan awal kepada koperasi yang memerlukan dan nilainya mungkin kecil, maksimum RM5,000 bagi setiap koperasi tetapi ia ibarat modal untuk memulakan semula aktiviti atau memberi peluang kedua untuk kembali aktif," katanya dalam temu bual bersama Mutiara FM di sini hari ini.
Selain bantuan kewangan, beliau berkata kerajaan negeri turut menyediakan pelbagai sokongan lain seperti latihan pengurusan, pemasaran, penyediaan prasarana dan modul digitalisasi kepada koperasi.
Sehubungan itu, Fahmi menyeru semua koperasi di Pulau Pinang mengambil peluang memohon Geran Mutiara MADANI tersebut bagi membantu meningkatkan dan mengembangkan projek atau perniagaan koperasi untuk kesejahteraan ekonomi dan sosial anggota koperasi.
Beliau juga mempunyai harapan tinggi terhadap kemampuan koperasi di Pulau Pinang untuk berjaya serta berperanan seperti koperasi yang berjaya di Eropah, Jepun, Sepanyol dan negara luar lain.
"Perniagaan yang dijalankan secara berkoperasi ini telah terbukti dapat membantu meningkatkan sosio-ekonomi masyarakat dan komuniti setempat, geran tersebut juga dapat meningkatkan ekonomi rakyat melalui gerakan koperasi," katanya.
Beliau berkata koperasi yang ingin memohon geran itu perlu memenuhi beberapa syarat asas, antaranya berdaftar dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), mempunyai akaun bank yang aktif, telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan, serta mempunyai pelan projek ekonomi yang berdaya maju.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial