AM

Hospital Wakaf Pertama Malaysia Siap 2028 - Fadillah

30/09/2025 06:59 PM

SEMENYIH, 30 Sept (Bernama) -- Hospital pakar berteraskan prinsip patuh syariah dan wakaf pertama di Malaysia dijangka siap dan beroperasi di Semenyih menjelang 2028, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata hospital yang bakal dibangunkan itu bukan sekadar sebuah fasiliti kesihatan moden berteknologi tinggi serta beroperasi mengikut undang-undang dan etika komersial Islam, sebaliknya distrukturkan berasaskan konsep wakaf bagi memastikan kelestrian serta misi sosialnya.

“Saya mendoakan supaya projek ini nanti berjalan dengan lancar … konsep saya sentiasa siapkan lebih awal, tiada EOT (lanjutan masa) sebab projek ini penting untuk rakyat. Lagi cepat siap, lagi baik untuk rakyat kita dan pastikan projek ini disiapkan mengikut waktu, jadual, standard, kualiti dan peruntukan yang ditetapkan. 

"Saya difahamkan Hospital Pakar Semenyih akan dibangunkan di atas tanah seluas 2.6 ekar (satu hektar) dengan keluasan binaan 783,566 kaki persegi termasuk kemudahan parkir. Hospital ini bakal menyediakan 261 katil dengan pelbagai kepakaran perubatan multidisiplin dikendalikan oleh operator hospital berpengalaman An-Nur Healthcare Sdn Bhd," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Pembangunan Hospital Pakar Semenyih (SSH) Patuh Syariah dan Bercirikan Wakaf di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata pembinaan hospital itu sejajar dengan aspirasi ekonomi MADANI, dengan kerajaan berhasrat menjadikan wakaf sebagai sektor ketiga ekonomi negara yang disasarkan menyumbang 10 peratus kepada kewangan sosial Islam menjelang 2030.

Pembinaan hospital itu membuktikan instrumen wakaf boleh digerakkan dalam sektor kesihatan untuk memberikan manfaat besar kepada masyarakat dengan penyediaan perkhidmatan berkualiti selain menjana hasil mampan untuk institusi wakaf negeri.

"Saya juga difahamkan bahawa Hospital Pakar Semenyih ini berhasrat untuk menjadi pintu gerbang perubatan di wilayah selatan Southern Medical Gateway dengan memberikan perkhidmatan perubatan berkualiti tinggi serta meningkatkan kebolehcapaian kepada sebahagian besar penduduk di negeri selatan.

"Model seperti ini sebenarnya boleh diperluas ke seluruh negara bukan sahaja dalam sektor kesihatan, malah dalam pendidikan, perumahan, dan pembangunan sosial juga. Mudah-mudahan, Hospital Pakar Semenyih ini menjadi mercu tanda bahawa pembangunan kesihatan dan keagamaan boleh berjalan seiring,” katanya.

Beliau turut berharap pemaju mengambil inisiatif menerapkan elemen teknologi hijau dalam pembangunan hospital berkenaan selaras dengan Pelan Hala tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) ke arah mencapai sasaran sifar bersih pelepasan gas rumah kaca (GHG) menjelang 2050.

Sementara itu, Mohd Na'im yakin projek berkenaan akan menjadi pemangkin kepada pembinaan rangkaian hospital wakaf di seluruh negara. 

"Hospital yang akan dibangunkan di Semenyih ini ialah hasil inisiatif Yayasan Waqaf Malaysia dengan kerjasama Highfield Healthcare Sdn. Bhd. sebagai projek perintis model hospital pakar wakaf.

"Hasrat besar Yayasan Waqaf Malaysia adalah supaya setiap daripada 14 negeri di Malaysia kelak memiliki hospital pakar wakaf dengan sokongan sektor korporat, Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), Kementerian Kesihatan, institusi perbankan Islam dan para pihak berkepentingan yang lain,” katanya. 

Beliau berkata hospital ini akan dilengkapi dengan kemudahan mesra ibadah seperti al-Quran, panduan ibadah pesakit, kemudahan solat, tayamum dan sokongan kerohanian.

"Segala kemudahan ini bakal memberikan pengalaman rawatan yang berbeza dan lebih bermakna berbanding hospital konvensional. Lebih penting, projek ini selari dengan aspirasi Pelan Induk Wakaf Nasional (PIWN) yang menyasarkan agar wakaf menyumbang 10 peratus kepada sektor kewangan sosial Islam menjelang 2030,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan