AM

PM Arah KPT Bincang Dengan KPM Pastikan Bahasa Melayu, Sejarah Diutamakan

30/09/2025 04:14 PM

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kementerian Pendidikan Tinggi telah diarahkan untuk berbincang dengan Kementerian Pendidikan bagi memastikan subjek teras seperti Bahasa Melayu dan Sejarah diberikan keutamaan, termasuk di sekolah swasta dan antarabangsa.

Beliau berkata arahan itu adalah sebahagian daripada cadangan semakan semula Mata Pelajaran Pengajian Umum (MPU) yang dibentangkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pagi tadi.

“Semakan ini penting untuk menambah baik kandungan, bilangan dan pendekatan MPU agar lebih segar, relevan serta berkesan dalam membina nilai kenegaraan dan semangat patriotisme,” katanya dalam catatan terbaharu di platform media sosial.

Perdana Menteri berkata cadangan semakan semula MPU dirangka hasil libat urus bersama pelbagai pihak termasuk sarjana, universiti awam, Agensi Kelayakan Malaysia, Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Kementerian Pertahanan melalui kajian keberkesanan serta hala tuju baharu pelaksanaan MPU.

Anwar berkata pelaksanaan MPU yang disemak semula itu juga akan diperluas bukan sahaja di universiti awam dan swasta tetapi turut meliputi semua institut latihan di negara ini.

Beliau berkata usul itu juga akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri sebagai langkah memperkukuh kesedaran kebangsaan demi melahirkan generasi berilmu, berjiwa besar dan cintakan negara.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan