SUKAN

NSFC Tampil Garang, Belasah Sabah FC 3-0 Di Paroi

28/09/2025 12:44 AM

SEREMBAN, 27 Sept (Bernama) -- Negeri Sembilan FC (NSFC) tampil garang di laman sendiri apabila menundukkan Sabah FC 3-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam ini.

Pasukan tuan rumah membuka tirai jaringan pada minit ke-26 menerusi penyerang import, Jovan Motika, yang melakukan larian mengelirukan dua pertahanan pelawat sebelum melepaskan rembatan kencang menewaskan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

Skuad bimbingan Mohd Nidzam Jamil terus mengukuhkan kedudukan pada minit ke-40 menerusi Ameyaw Alexander Agyakwa yang menjaringkan gol kedua hasil penyudah berkualiti, sekali gus meletakkan tuan rumah selesa mendahului 2-0 bagi separuh masa pertama.

Babak kedua menyaksikan Sabah cuba bangkit dengan beberapa percubaan berbahaya, namun kekuatan benteng pertahanan NSFC dapat mengekang asakan termasuk beberapa cubaan menarik daripada Adjin Mujagic dan Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew.

NSFC mendapat peluang terbaik menambah jaringan pada minit ke-64 menerusi gerakan solo Motika yang mengatasi dua pemain lawan namun rembatannya tersasar ke luar garisan.

Skuad tuan rumah mengesahkan kemenangan menerusi gol ketiga pada minit ke-79 menerusi Joseph Esso, yang menyempurnakan hantaran kemas Mio Tsuneyasu sekali gus menggegarkan stadium yang dibanjiri lebih 20,000 penyokong.

Turut mencuri tumpuan, penampilan sulung pemain muda Luqman Hakim Shamsudin yang mempamerkan aksi bertenaga dengan larian pantas serta hantaran kemas sekali gus memperkukuh jentera serangan NSFC.

Tiga mata penuh itu melonjakkan NSFC ke tangga keempat liga dengan kutipan lapan mata, sementara Sabah terus bergelut di kedudukan ke-10 dengan hanya tiga mata.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan