SHAH ALAM, 27 Sept (Bernama) -- Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terus memperkukuh peranannya sebagai institusi penabungan pendidikan melalui pelancaran Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2025 yang berlangsung mulai semalam hingga 2 Nov depan.
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Datuk Dr Anesee Ibrahim berkata program tahunan yang memasuki edisi kelapan sejak diperkenalkan pada 2018 itu diisi dengan pelbagai program menarik.
Bertemakan pengembaraan (adventures) serta mengekalkan tagline 'Jom Jadi Superhero Anak Anda', Anesee berkata BMS 2025 menekankan kepentingan ibu bapa menjadi adiwira kepada anak-anak dengan merancang kewangan pendidikan mereka sejak awal.
"BMS 2025 merupakan inisiatif pemerkasaan penabungan yang dipelopori oleh PTPTN bertujuan memastikan setiap ibu bapa menjadi adiwira atau 'superhero' kepada anak-anak dengan mempunyai perancangan kewangan untuk pendidikan tinggi, sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan masyarakat kepada pinjaman.
"Penabungan untuk pendidikan tinggi merupakan satu pelaburan jangka panjang yang penting dalam membina masa depan anak-anak, khususnya dalam menghadapi kos pendidikan yang semakin meningkat, menabung dari awal ialah satu persediaan bijak dan bertanggungjawab," katanya ketika berucap pada pelancaran BMS 2025 di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Anesee berkata sehingga 31 Ogos lepas, jumlah deposit daripada produk simpanan Simpan SSPN yang diterima berjumlah RM22.31 bilion membabitkan 7.09 juta akaun.
Beliau berkata prestasi itu membuktikan Simpan SSPN terus cemerlang sebagai produk simpanan terbaik dan sokongan pendeposit kekal utuh.
Anesee berkata untuk BMS 2025, PTPTN menyasarkan jumlah terimaan deposit Simpan SSPN sebanyak RM220 juta.
Beliau berkata Simpan SSPN menawarkan pelbagai manfaat antaranya pelepasan cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful, Geran Sepadan hingga RM10,000 secara percuma bagi satu keluarga yang layak, kadar dividen kompetitif, patuh syariah dan simpanan dijamin kerajaan.
Terdahulu, majlis pelancaran BMS 2025 turut diserikan dengan pelbagai acara menarik termasuk pertandingan mewarna, Action Song, PTPTN Esport Challenge dan Baby Merangkak Race.
Turut diadakan penyampaian sijil penghargaan kepada 16 rakan strategik dan hadiah kepada pemenang Pertandingan Action Song Peringkat Kebangsaan yang dimenangi Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Hwa dari Bukit Pasir, Batu Pahat, Johor.
Pertandingan membabitkan sekolah yang berdaftar di bawah modul Kelab Simpanan Pendidikan itu disertai 11 sekolah sebelum lima sekolah dipilih untuk bersaing dalam peringkat akhir hari ini.
Sementara itu, Guru Panitia Bahasa Inggeris SJKC Sin Hwa Tay Sock Kar berkata kemenangan tersebut hasil latihan intensif selama lebih dua bulan selepas menyertai peringkat negeri dan cabaran terbesar adalah menghasilkan idea persembahan yang selari dengan tema ditetapkan penganjur.
Beliau berkata pertandingan itu bukan sekadar menyerlahkan bakat murid tetapi yang lebih utama memberikan kesedaran kepada mereka dan ibu bapa mengenai kepentingan menabung sejak kecil.
Katanya melalui latihan, murid dapat memahami kepentingan mengurus kewangan, membuat bajet serta membentuk tabiat menabung yang baik.
"Pada peringkat negeri, temanya ialah ‘The Heritage’ manakala di peringkat kebangsaan bertukar kepada ‘The Savings Adventure’, jadi kami perlu fikirkan konsep baharu.
"Akhirnya kami olah jalan cerita yang sesuai untuk dipersembahkan dan gembira usaha itu membuahkan hasil selepas dipilih selaku juara,” katanya yang membawa pulang hadiah dalam bentuk Simpan SSPN Prime sebanyak RM3,750.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial