PUTRAJAYA, 26 Sept (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan siasatan kes akaun bank luar negara yang dikaitkan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah selesai pada 2022.
Dalam satu kenyataan hari ini, SPRM mengambil maklum kandungan tular di aplikasi TikTok berhubung dakwaan terhadap Anwar yang dikatakan memiliki 20 akaun bank luar negara termasuk di Israel, seperti disebut dalam satu sidang Parlimen pada 2013.
“SPRM ingin menegaskan bahawa siasatan terhadap dakwaan tersebut telah dijalankan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada 1999.
“Hasil siasatan mendapati tiada sebarang bukti atau keterangan yang boleh mengaitkan beliau dengan kesalahan jenayah rasuah atau salah guna kuasa pada ketika itu,” menurut kenyataan itu.
SPRM memaklumkan penjelasan mengenai hasil siasatan tersebut turut dinyatakan dalam akuan bersumpah oleh bekas Pengarah Siasatan BPR Datuk Abdul Razak Idris yang dibuat pada 2009.
“Sebagai rekod, pihak WikiLeaks juga telah menafikan pernah menyiarkan sebarang senarai akaun bank milik Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti didakwa semasa sidang Parlimen berkenaan sebagaimana berita disiarkan di akhbar Harian Metro bertajuk "Dah 5 tahun baru Wikileak nafi" bertarikh 5 Okt 2018,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, SPRM mengingatkan semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi boleh mengelirukan masyarakat atau menjejaskan reputasi mana-mana individu tanpa asas yang sah.
“Penyebaran maklumat tidak sahih boleh menimbulkan kekeliruan dan mengganggu ketenteraman awam.
“SPRM kekal komited untuk menjalankan siasatan secara bebas, telus dan berintegriti selaras dengan undang-undang negara,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial