AM

Ulang Tahun SPRM Ke-58 Diraikan Dengan Doa Kesyukuran

26/09/2025 10:35 AM

PUTRAJAYA, 26 Sept (Bernama)  —Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyambut Ulang Tahun ke-58 penubuhannya dengan majlis bacaan Yasin dan doa selamat yang diadakan di Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, di sini malam tadi.

 

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki bersama kira-kira 600 warga SPRM dan masyarakat setempat hadir memeriahkan majlis berteraskan kerohanian itu yang dianjurkan sebagai tanda kesyukuran atas kekuatan serta kelangsungan Suruhanjaya dalam membanteras jenayah rasuah sejak penubuhan Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada 1967.

 

Sambutan ulang tahun ini bukan sahaja memperingati sejarah penubuhan Suruhanjaya, malah menjadi wadah untuk mempromosikan mesej antirasuah kepada masyarakat.

 

Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Ahmad Nizam Ismail berkata, penganjuran secara inklusif turut dilaksanakan dengan melibatkan penganut pelbagai agama lain.

 

“Selain Islam, program khas sambutan ulang tahun akan diteruskan bersama penganut Kristian pada 27 September, manakala penganut Buddha dan Hindu pula pada 3 Oktober 2025,” katanya.

 

Beliau berkata, pengisian berasaskan agama itu bukan sekadar meraikan ulang tahun, tetapi juga sebagai usaha memperkukuhkan semangat warga SPRM bersama masyarakat untuk terus berganding bahu memelihara integriti negara.

 

"Sambutan Ulang Tahun ke-58 ini sekali gus menzahirkan komitmen berterusan SPRM untuk kekal utuh sebagai benteng utama negara dalam membanteras rasuah dan salah guna kuasa, selaras dengan amanah rakyat," katanya.

— BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan