KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- KPJ Healthcare Bhd memperkukuh kedudukannya sebagai antara syarikat tersenarai berprestasi tinggi di Malaysia dalam bidang penjagaan kesihatan apabila merangkul tiga anugerah di The Edge Billion Ringgit Club (BRC) 2025.
KPJ Healthcare merangkul Anugerah Permodelan Besar (RM10 bilion - RM40 bilion permodelan pasaran) kerana telah mencapai Pertumbuhan Tertinggi dalam Keuntungan Selepas Cukai dalam tempoh tiga tahun.
Kumpulan itu juga turut meraih dua kemenangan dalam sektor penjagaan kesihatan iaitu Pertumbuhan Tertinggi dalam Keuntungan Selepas Cukai dan Pulangan Tertinggi kepada Pemegang Saham bagi tempoh yang sama.
Anugerah BRC tahunan anjuran The Edge Malaysia itu meraikan syarikat senaraian awam terbaik di Malaysia dengan permodelan pasaran sekurang-kurangnya RM1 bilion berdasarkan prestasi mereka sepanjang tiga tahun.
Pada 2024, KPJ Healthcare telah diumumkan sebagai pemenang dalam sektor penjagaan kesihatan bagi Pulangan Tertinggi kepada Pemegang Saham.
Majlis tahun ini telah disempurnakan dengan kehadiran Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Selangor dan Tengku Permaisuri Norashikin.
Sementara itu, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Chin Keat Chyuan merakamkan ucapan terima kasih kepada perunding, kakitangan dan pihak berkepentingan atas sokongan mereka.
"Pengiktirafan ini mencerminkan kepercayaan yang diberikan kepada KPJ Healthcare dan mengesahkan kekuatan kewangan dan keupayaan kami untuk menjana nilai jangka panjang untuk pemegang saham dan memastikan hasil nilai terbaik untuk pesakit dan komuniti.”
“Menerusi KPJ Health System, kami mengintegrasikan klinikal, pendidikan dan penyelidikan di samping memajukan inovasi digital untuk membina model penjagaan kesihatan yang mampan dan bersedia untuk masa hadapan. Sebagai penyedia penjagaan kesihatan swasta terbesar di Malaysia, kami tetap komited untuk meningkatkan standard dan menyampaikan nilai yang memberi manfaat kepada semua pihak berkepentingan kami,” katanya.
Chin berkata kemenangan itu juga mencerminkan kemajuan KPJ Health System dengan pembangunan Pusat Kecemerlangan yang membentuk asas untuk subkepakaran yang lebih mendalam dan rangkaian klinikal yang lebih kukuh.
Beliau juga berkata disokong oleh keupayaan digital dan amalan mampan, inisiatif ini meletakkan KPJ Healthcare untuk menerajui transformasi penjagaan kesihatan Malaysia dengan skala dan impak.
Dengan 30 hospital di seluruh negara, lebih 1,490 perunding perubatan serta 3.3 juta pesakit setiap tahun, KPJ Healthcare terus memperluas peranannya dalam membentuk landskap masa depan penjagaan kesihatan Malaysia dan berpandukan Care for Life, ia komited untuk memberikan kecemerlangan dalam penjagaan di samping mencipta nilai untuk pesakit, pemegang saham dan komuniti.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial