KOTA BHARU, 23 Sept (Bernama) -- Ketua Jurulatih Kelantan The Red Warriors FC (KRW) Irfan Bakti mengakui barisan serangan pasukannya masih tumpul selepas tiga aksi Liga A1 Semi Pro musim ini.
Jurulatih berusia 74 tahun itu berkata fokus utama kini tertumpu kepada penyudah di hadapan gawang menjelang perlawanan keempat menentang Selangor FC II di Stadium Mini Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang, Khamis ini.
“Masalah penjaring menjadi punca utama kami gagal meraih kemenangan. Kami tiada pemain yang benar-benar mampu menjaringkan gol, jadi sesi latihan sekarang ditumpukan sepenuhnya kepada aspek penyudah,” katanya kepada Bernama hari ini.
Selepas tiga perlawanan, KRW menghuni tangga ke-15 daripada 16 pasukan dengan dua mata hasil dua keputusan seri dan satu kekalahan, selain hanya merekodkan satu jaringan setakat ini.
Irfan berkata skuadnya menjalani latihan intensif bagi menamatkan kemarau kemenangan dan yakin anak buahnya mampu mencatat keputusan positif di gelanggang lawan.
“Pemain sebenarnya tidak beraksi buruk, cuma penyudah yang menjadi masalah. Saya mahu semua pemain meningkatkan tahap fizikal dan mental menjelang pertemuan Khamis ini,” katanya.
Menariknya, aksi menentang Selangor FC II bakal menjadi perlawanan pertama KRW pada waktu petang musim ini.
“Ini bukan soal teknikal semata-mata tetapi bagaimana pemain mengendalikan tekanan. Kami perlu lebih fokus dan bekerja keras untuk merealisasikan kemenangan pertama,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial