JENAYAH & MAHKAMAH

Pelajar IKBN Miri Nafi Dibuli, Maklum Hanya Gurauan - Polis

23/09/2025 03:04 PM

KUCHING, 23 Sept (Bernama) -- Seorang pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri yang tular dalam rakaman video di media sosial memperlihatkan beliau seolah-olah menjadi mangsa kekerasan fizikal, menafikan dirinya dibuli.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata pelajar tersebut bersama ibu dan bapanya telah hadir ke balai polis untuk menjelaskan bahawa kejadian itu hanyalah gurauan rakan-rakan sempena sambutan hari lahirnya pada 19 Sept lepas, tanpa unsur paksaan atau penderaan.

“Sehubungan itu, polis telah memanggil pegawai institut berkenaan, ibu bapa serta kesemua pelajar berumur dalam lingkungan 18 tahun hingga 24 tahun yang terlibat dalam rakaman video tersebut untuk diambil keterangan bagi melengkapkan siasatan dan mengklasifikasikan kes itu sebagai tiada tindakan lanjut.

“Polis akan terus memantau perkembangan kes ini, polis tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya muncul laporan atau bukti baharu yang menunjukkan wujudnya unsur jenayah buli,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Farhan berkata pihak IKBN Miri juga telah mengesahkan kejadian berlaku dalam kawasan kampus dan pihak institut juga memaklumkan akan mengambil tindakan tegas terhadap kesemua pelajar terlibat. 

Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menularkan rakaman berkenaan atau membuat spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran awam, sebaliknya menyalurkan maklumat relevan terus kepada polis bagi tindakan sewajarnya.

Sebelum ini satu rakaman video berdurasi 13 saat telah tular di media sosial yang memperlihatkan sekumpulan lelaki mengangkat seorang individu dalam keadaan terkangkang hingga terkena tiang. Video tersebut telah menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat serta spekulasi berhubung kemungkinan berlaku kejadian buli.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan