KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Dua rakan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar lebih 100 kilogram dadah jenis syabu.
Fathi Fikri A'shaari dan Ahmad Syakir Khalid, masing-masing berusia 36 tahun, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amira Abd Aziz, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Kedua-dua peniaga itu didakwa bersama-sama mengedar dadah berbahaya jenis syabu seberat 103,326 gram (103.3 kilogram) di sebuah rumah di Jalan Tasik Damai, Taman Tasik Impian, Sungai Besi, pada 11.50 pagi, 10 Sept lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, dan jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah dikenakan maksimum 15 sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 22 Dis depan untuk sebutan semula kes bagi penyerahan laporan kimia, dengan kedua-dua tertuduh tidak dibenarkan jaminan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farhanah Arul Hisham, manakala Fathi Fikri diwakili peguam Mohd Redzuan Mohamed Yusoff dan Ahmad Syakir diwakili peguam Shah Rizal Abdul Manan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial