AM

NADI Pacu Keusahawanan Digital, Mantapkan Peranan Pusat Sehenti Komuniti

23/09/2025 11:58 AM

Oleh Nursuraya Zulkifli

MELAKA, 23 Sept (Bernama) -- Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) terus mengukuhkan peranannya sebagai pemangkin keusahawanan digital dan pembangunan komuniti, selain berfungsi sebagai pusat sehenti pelaksanaan pelbagai inisiatif kerajaan pusat dan negeri dalam usaha meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat.

Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Melaka Syed Isa Alsagoff berkata, setakat ini lebih 750 usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negeri itu telah menerima manfaat Program Latihan Keusahawanan Digital NADI bagi memperkukuh perniagaan mereka di platform dalam talian.

“Latihan itu merangkumi pemasaran media sosial, fotografi produk dan penulisan promosi. Ramai usahawan kini berjaya mengembangkan perniagaan makanan, pakaian, hasil tangan serta perkhidmatan kreatif melalui medium digital.

“NADI juga menyediakan laluan pensijilan kemahiran melalui kerjasama dengan institusi pengajian tinggi dan pusat latihan, yang sekali gus membantu peserta mendapatkan pengiktirafan formal bagi menyokong permohonan bantuan atau program sokongan perniagaan lain,” katanya kepada Bernama.

Selain aspek keusahawanan, jelasnya, NADI turut berperanan sebagai hab rasmi penyebaran maklumat dan kemas kini data rakyat. Antara fungsi utamanya termasuk pendaftaran Pangkalan Data Utama (PADU), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Kampung Digital Melaka.

Syed Isa berkata NADI juga menjadi saluran maklumat berhubung program bantuan dan subsidi terkini termasuk BUDI MADANI, Manfaat MADANI, SejaTi MADANI, MyDigital ID serta Inisiatif AI untuk Rakyat.

"Pusat itu turut menyediakan platform sokongan pemerkasaan komuniti dengan memberi bimbingan mengenai cara memohon geran, insentif pertanian, latihan kemahiran, serta menyemak status bayaran bantuan secara dalam talian," katanya.

Sehingga 31 Jan lepas, NADI merekodkan 57,341 pengguna berdaftar di seluruh Melaka dengan lebih 11,400 penyertaan latihan merangkumi keusahawan digital, kemahiran ICT, literasi data dan keselamatan siber yang secara langsung membantu meningkatkan daya saing komuniti setempat.

Menurut beliau, NADI turut memberi tumpuan kepada komuniti rentan seperti warga emas melalui sesi bimbingan bersemuka, antaranya membantu proses kemas kini data bantuan, penggunaan aplikasi e-dompet, asas telefon pintar dan keselamatan digital.

“Pertambahan bilangan NADI mencerminkan komitmen berterusan MCMC merapatkan jurang digital antara komuniti bandar dan luar bandar. Melalui inisiatif 1 Dewan Undangan Negeri (DUN) 1 NADI, sebanyak sembilan pusat baharu beroperasi sejak Mei lalu, menjadikan jumlah keseluruhan di Melaka 39 buah,” katanya.

Beliau berkata NADI kini turut menjadi benteng pendidikan keselamatan siber dengan menganjurkan Kempen Internet Selamat, advokasi literasi digital serta pendedahan mengenai penipuan siber terkini, sekali gus memperkasa masyarakat menghadapi cabaran dunia digital yang semakin kompleks.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan