EKONOMI

Kerajaan Komited Perkukuh Industri Semikonduktor Dalam Belanjawan 2026 - Amir Hamzah

22/09/2025 08:40 PM

BATU KAWAN, 22 Sept (Bernama) -- Kerajaan memberi jaminan bahawa industri semikonduktor akan diberikan lebih perhatian dalam pembentangan Belanjawan 2026 yang dijadualkan pada 10 Oktober ini, sejajar dengan aspirasi di bawah Strategi Semikonduktor Nasional (NSS).

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata industri semikonduktor merupakan penyumbang utama kepada ekonomi negara dengan lebih 40 peratus daripada eksport Malaysia daripada segmen elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor.

“Oleh itu, dari segi kerajaan, kita mempunyai peranan bagaimana untuk merancakkan, mendalami dan menyokong perkembangan industri ini pada masa depan. 

“Saya berpandangan, dalam belanjawan ini, kita akan bagi penekanan yang lebih kepada industri-industri penting seperti semikonduktor. Insya-Allah mungkin ada berita yang akan menunjukkan komitmen kerajaan untuk merancakkan lagi segmen ini,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Program Jelajah Belanjawan 2026 Pulau Pinang di sini hari ini. 

Beliau berkata pendekatan kerajaan bukan sahaja tertumpu kepada peningkatan pelaburan malah untuk meningkatkan kerumitan atau kompleksiti dalam sektor semikonduktor agar Malaysia kekal relevan dalam rantaian bekalan global.

“Kerumitan itu bukan bermakna kita mahu menyusahkan, tetapi kita mahu meningkatkan kompleksiti yang ada dalam industri ini kerana apabila kompleksiti naik, ekosistem kita lebih meluas. Peluang yang kita ada akan turut meningkat serta peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia juga akan berkembang,” katanya.

Amir Hamzah yang turut menjalankan tugas dan fungsi Menteri Ekonomi berkata kerajaan telah menerima pelbagai cadangan bagi memperkukuh ekosistem semikonduktor tempatan, termasuk usaha mendalami dan melebarkan rantaian nilai sektor berkenaan dalam sesi libat urus bersama pemain industri hari ini.

Program itu adalah sebahagian daripada inisiatif libat urus kerajaan untuk mendapatkan pandangan secara langsung daripada pemain industri dan pemegang taruh tempatan yang akan dijadikan input utama dalam penggubalan Belanjawan 2026.

Program di Batu Kawan itu merupakan siri ketujuh di peringkat negeri sebelum diteruskan ke Negeri Sembilan, Selangor dan Melaka pada minggu hadapan.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata proses penyediaan belanjawan kini memasuki peringkat memperhalusi cadangan impak daripada kumpulan fokus termasuk pemain industri semikonduktor di Pulau Pinang selepas tamat sesi perbincangan dan cadangan daripada agensi kerajaan Persekutuan serta kerajaan negeri sebelum ini.

Ketika ditanya mengenai cabaran tarif Amerika Syarikat (AS) terhadap industri semikonduktor, beliau berkata kebanyakan pemain industri di Malaysia dari negara barat.

“Oleh itu, kalau kita lihat kepada peningkatan, ia tidak terlalu menekan kepada pelaburan yang dibuat oleh negara-negara barat. Contohnya, dalam tarif yang diperkenalkan oleh AS, terdapat pengecualian yang diberikan kepada sektor tertentu, terutama kepada mereka yang telah melabur semula kepada AS. 

“Apa yang lebih penting juga dalam ekosistem kita, kita ada pemain industri yang kuat, pemain industri tempatan yang kukuh, kumpulan bakat yang baik dan kita selalu menjadi pembekal yang dipercayai di mata dunia. Insya-Allah ini akan menolong kita pada masa depan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan