DUNIA

Niaga Hadapan Emas Ditutup Tinggi

22/09/2025 08:36 PM

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi pada Isnin, dipacu oleh jangkaan penurunan kadar faedah selanjutnya oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed).

Rakan kongsi pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata para peniaga terus memilih emas sebagai aset selamat susulan prospek pengurangan kadar faedah oleh Fed yang merangsang permintaan terhadap logam berharga itu.

“Jangkaan terhadap hasil yang lebih rendah mendorong kenaikan harga emas sehingga penutupan dagangan, menjelang kenyataan daripada pegawai Fed yang dijangka menyokong sentimen pasaran,” katanya kepada Bernama.

Kontrak bagi September 2025 meningkat kepada US$3,727.80 setiap auns troy daripada US$3,660.20 ketika ditutup pada Jumaat, manakala kontrak Oktober 2025 naik kepada US$3,744.60 daripada US$3,676.60 pada minggu sebelumnya.

Sementara itu, kontrak November 2025 melonjak kepada US$3,761.40 berbanding US$3,693.40 sebelum ini, manakala kontrak Disember 2025, Februari 2026, April 2026 dan Jun 2026 masing-masing ditutup lebih tinggi pada US$3,782.50 setiap auns troy berbanding US$3,714.30 sebelum ini.

Bagaimanapun, jumlah dagangan susut kepada 270 lot berbanding 772 lot pada Jumaat, manakala kepentingan terbuka turut susut kepada 315 kontrak daripada 807 kontrak sebelumnya.

Harga emas fizikal berada pada paras US$3,663.15 setiap auns troy berdasarkan penetapan oleh London Bullion Market Association pada 19 Sept, 2025.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan