AM

"Summer School For Energy Regulators In ASEAN" Pencapaian Penting Bina Kapasiti Pengawal Seliaan Serantau

22/09/2025 09:10 PM

PUTRAJAYA, 22 Sept (Bernama) -- Program Summer School for Energy Regulators in ASEAN merupakan pencapaian penting dalam membina kapasiti pengawalseliaan serantau, menyokong pembangunan rangkaian tenaga ASEAN dan memajukan matlamat peralihan tenaga bersama ASEAN. 

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga (ST) Siti Safinah Salleh yang juga Pengerusi ASEAN Energy Regulators Network (AERN) 2025 berkata demikian semasa merasmikan program itu, mewakili Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi ST Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Pada ucapannya, beliau menekankan tema Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 iaitu ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, dan ST selaku penyelaras serta tuan rumah amat menekankan komitmen memperkukuh kerjasama serantau dan memastikan pengawal seliaan serta utiliti ASEAN dilengkapi dengan pengetahuan serta keupayaan dalam memacu masa depan tenaga yang selamat, lestari dan inklusif.

ST dalam kenyataan hari ini, memaklumkan selaku pengerusi AERN, suruhanjaya itu menjadi tuan rumah program yang menghimpunkan 35 pegawai profesional peringkat pertengahan daripada badan kawal selia dan utiliti seluruh negara anggota ASEAN serta Timor-Leste. 

“Program ini bertujuan memperkukuh kapasiti pengawalseliaan, berkongsi amalan terbaik serta sebagai persediaan ke arah penubuhan ASEAN School of Regulation.

“Program ini merangkumi kelas bersama pakar bidang, kajian kes, kerja berkumpulan secara interaktif dan lawatan tapak dengan menfokuskan kepada perdagangan tenaga rentas sempadan, integrasi pasaran, penggunaan tenaga boleh baharu serta penyelarasan kawal selia di rantau ASEAN,” menurut kenyataan itu.

ST memaklumkan program lima hari bermula 22 Sept berlangsung di PETRONAS Leadership Centre, Selangor itu merupakan pertama seumpamanya di rantau ini berasaskan model Summer School on Regulation yang diadakan setiap tahun di Florence, Itali.

Program itu dianjurkan dengan kerjasama Perkongsian Peralihan Tenaga Asia Tenggara (ETP) dan Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Asia dan Pasifik (UNESCAP) serta mendapat sokongan Florence School of Regulation (FSR), European University Institute, Sekretariat ASEAN (ASEC) dan Pusat Tenaga ASEAN (ACE).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan