KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) hari ini melancarkan Kempen Bersama Wira bagi mengumpul dana untuk membantu warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan keluarga yang memerlukan.
LTAT dalam kenyataan hari ini memaklumkan kempen itu membuka ruang kepada orang ramai untuk menzahirkan penghargaan kepada wira negara selaras dengan pendekatan whole-of-nation sekali gus memperkukuh komitmen agensi berkenaan terhadap misinya untuk memperkasakan kesejahteraan sosioekonomi para pencarum.
Golongan penerima manfaat terdiri daripada warga ATM dan keluarga yang menghidap penyakit kritikal atau berdepan cabaran kehidupan di kem-kem ATM seluruh negara.
“Dana yang dikumpulkan akan disalurkan dalam bentuk pakej bantuan mengandungi barangan keperluan asas yang diperoleh daripada Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA), anak syarikat milik penuh LTAT yang mengendalikan rangkaian kedai runcit untuk warga ATM dan keluarga mereka,” menurut kenyataan itu.
Ketua Eksekutif LTAT Mohammad Ashraf Md Radzi berkata LTAT sentiasa komited untuk memperkasa kesejahteraan sosioekonomi pencarum melibatkan pendekatan merangkumi strategi pelaburan yang kukuh untuk menjamin nilai jangka panjang di samping inisiatif sosial berimpak tinggi yang memberi manfaat terus kepada komuniti ATM.
Beliau berkata Kempen Bersama Wira mencerminkan iltizam itu seiring dengan nilai MADANI yang menekankan belas ihsan, keterangkuman dan tanggungjawab bersama.
“Melalui kempen ini, LTAT membuka peluang kepada seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama menghargai jasa wira negara.
"Mereka yang telah mengabdikan diri mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara ini bukan sahaja berhak menerima penghormatan malah memerlukan sokongan kolektif kita ketika berdepan waktu sukar.
“Bersama, kita dapat memastikan pengorbanan mereka dihargai dan dizahirkan secara nyata bagi memberi kesan yang bermakna,” menurutnya dalam kenyataan sama.
Pelancaran Kempen Bersama Wira itu disempurnakan oleh Pengerusi LTAT Jeneral (B) Tan Sri Azizan Ariffin bersama Mohammad Ashraf, yang diadakan semasa Program The WIRA Forum di sini hari ini.
The WIRA Forum, yang julung kali diadakan, adalah bertujuan untuk menjadi wadah bagi mencetuskan dialog, menghimpunkan idea, pengalaman dan pandangan yang mampu memperkukuh aspirasi nasional dalam memelihara kehormonian serta kedaulatan negara dengan menjadikan perspektif ATM sebagai rujukan utama.
Forum itu turut menampilkan tokoh-tokoh negara yang merupakan bekas Panglima Angkatan Tentera termasuk Azizan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial