SEREMBAN, 20 Sept (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperuntukkan RM500,000 bagi projek menaik taraf papan markah di Pusat Akuatik Negeri, Paroi.
Menterinya Hannah Yeoh berkata projek yang bermula pada 20 Januari lepas dan siap sepenuhnya pada 29 Julai itu merupakan inisiatif kerajaan MADANI bagi memudahkan atlet memperoleh maklumat lebih jelas dan tepat mengenai kemajuan serta pencapaian mereka.
“Kemudahan baharu ini juga berperanan sebagai pemangkin motivasi kepada perenang untuk berlatih dengan lebih gigih, khususnya atlet di sini dan kawasan sekitar, sekali gus menyokong pembangunan bakat sukan dari peringkat akar umbi hingga profesional.
“Naik taraf ini turut membuktikan komitmen berterusan KBS dalam memperkukuh ekosistem sukan negara,” katanya pada Majlis Penyerahan Projek Menaik Taraf Papan Markah di Pusat Akuatik Negeri Paroi dan Program Santuni Peserta Liga Sukan Orang Kurang Upaya (OKU) 2025 Peringkat Kebangsaan di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sembilan, di sini hari ini.
Mengulas mengenai Liga Sukan OKU, Hannah berkata ia merupakan inisiatif baharu KBS melalui Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) bagi membudayakan sukan dalam kalangan komuniti OKU di peringkat negeri dan kebangsaan.
Beliau berkata matlamat utama program itu adalah untuk memperkasa komuniti OKU melalui penyertaan aktif dalam sukan, merealisasikan gaya hidup sihat secara inklusif selain menyokong Visi Sukan Negara 2030.
“Penganjuran Liga Sukan OKU ini selari dengan aspirasi Kerangka Malaysia MADANI yang menekankan teras Kesejahteraan dan Ihsan serta semangat ‘No One Left Behind’ iaitu memberi penekanan terhadap kesamarataan dan pemerkasaan ekosistem sukan secara inklusif,” katanya.
Hannah berkata liga itu juga berperanan sebagai platform mencungkil bakat baharu untuk digilap ke peringkat lebih tinggi seperti Para SUKMA, Para ASEAN dan Paralimpik.
Menurutnya penganjuran Liga Sukan OKU mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan seramai 1,097 peserta bagi peringkat kebangsaan selain 15 siri di peringkat negeri yang membabitkan 5,448 penyertaan, menjadikan jumlah keseluruhan peserta tahun ini seramai 6,545 orang.
Beliau menjelaskan liga itu tidak menetapkan had umur maksimum (bermula dari 15 tahun ke atas) serta membolehkan penyertaan atlet dengan pelbagai bentuk ketidakupayaan termasuk fizikal, intelektual, visual dan pendengaran.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial