WASHINGTON, 20 Sept (Bernama-Yonhap) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Jumaat berkata beliau bersetuju dengan Presiden China Xi Jinping untuk mengadakan pertemuan pada Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) yang dijadual berlangsung di Korea Selatan hujung tahun ini.
Trump membuat kenyataan itu dalam satu hantaran media sosial sejurus selepas mengadakan perbualan telefon dengan Xi, yang digambarkannya sebagai “sangat produktif,” lapor Agensi Berita Yonhap.
“Saya juga bersetuju dengan Presiden Xi bahawa kami akan bertemu di Sidang Kemuncak APEC di Korea Selatan,” tulisnya di platform Truth Social, merujuk kepada perhimpunan pelbagai hala yang dijadualkan berlangsung di bandar Gyeongju, tenggara Korea Selatan, dari 31 Okt hingga 1 Nov.
Masih belum jelas sama ada pertemuan yang dirancang itu akan berbentuk sidang kemuncak rasmi atau hanya pertemuan di luar sidang APEC.
Pertemuan antara kedua-dua pemimpin kuasa besar itu dijangka menarik perhatian antarabangsa terhadap sidang APEC di Korea Selatan kerana hasil pertemuan terbabit berpotensi memberi kesan luas terhadap perdagangan global, keselamatan dan bidang lain.
Persiapan Korea Selatan bagi sidang APEC itu berlangsung ketika pentadbiran Presiden Lee Jae-Myung berusaha memperkukuh pakatan dua hala dengan Amerika Syarikat serta mengekalkan hubungan stabil dengan China di bawah pendekatan dasar luar “pragmatik.”
Dalam hantaran media sosial sama, Trump turut berkata beliau dan Xi bersetuju bahawa beliau akan melawat China awal tahun depan, manakala Xi akan ke AS “pada masa yang sesuai.”
Trump kali terakhir mengadakan lawatan presiden ke China pada November 2017 ketika penggal pertamanya.
Xi pula pernah melawat Florida pada April 2017 untuk bertemu Trump.
-- BERNAMA-YONHAP
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial