KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan penularan varian baharu COVID-19 iaitu XFG daripada 43,087 kes yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-35 (ME 35/2025).
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menerusi hantaran di platform X memaklumkan 8.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes yang dilaporkan pada ME35 adalah varian XFG.
Beliau berkata menerusi pengesanan genomik mendapati varian NB1.8.1 kekal dominan dengan merekodkan 39.4 peratus, diikuti JN.1 (18.1 peratus) dan XEC (13.3 peratus), manakala varian lain merangkumi 21 peratus.
“Secara kumulatif, sehingga ME35/2025, sebanyak 43,087 kes telah dilaporkan berbanding 85,297 kes bagi tempoh sama pada tahun 2024 (penurunan sebanyak 49.5 peratus),” katanya.
DZulkefly berkata kes mingguan ME35 pula menunjukkan penurunan sebanyak 12.8 peratus iaitu 594 berbanding 681 kes pada ME34.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan satu kematian baharu dilaporkan pada ME35 melibatkan warga emas terlantar berusia 91 tahun.
“Secara kumulatif kematian COVID-19 sehingga kini adalah 3 (dilaporkan pada ME 24/2025, ME 30/2025 dan ME 35/2025,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya terus mengamalkan langkah pencegahan asas terutama mencuci tangan dengan kerap, memakai pelitup muka sekiranya bergejala atau berada di tempat sesak serta mendapatkan vaksinasi sekiranya berisiko.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial