AM

ASEAN +3 Perlu Perkukuh Kerjasama Tangani Cabaran Kecerdasan Buatan

17/09/2025 10:17 PM

Daripada Sharifah Hunaini Syed Ismail

KUNMING (CHINA), 17 Sept (Bernama) -- Organisasi media dan juga kerajaan di bawah rangka kerja ASEAN+3 perlu mengukuhkan kerjasama dan berganding bahu dalam mendepani cabaran kecerdasan buatan (AI) yang bukan hanya membawa manfaat yang amat besar, namun juga risiko tinggi.

Ketua pengarang Sin Chew Daily Chan Aun Kuang berkata AI mempunyai potensi yang sangat besar, dan negara ASEAN, bersama-sama dengan China, Jepun, dan Korea Selatan, boleh mengguna pakai prinsip “saling membantu dalam menangani cabaran” untuk memaksimumkan manfaat bagi negara masing-masing.

“Bagaimanapun, wartawan di negara-negara ini perlu mengambil pendekatan berhati-hati kerana berita palsu yang menggunakan teknologi AI semakin berleluasa di media; ia telah menjadi cabaran era baharu yang perlu ditangani secara bersama-sama dalam kalangan negara,” katanya semasa sesi dialog pada Forum Kerjasama Media ASEAN+3 (10+3) ke-11, di sini, hari ini.

Sesi dialog bertajuk “Foster New Growth Drivers and Share New Development Opportunities” itu merupakan agenda pertama forum tersebut yang disertai lebih 100 peserta dari 10 negara ASEAN serta Jepun, Korea Selatan dan China.

Semasa sesi perbincangan di forum yang bertemakan “Increase Inter-connectivity for Common Development and Shared Benefits” itu Chan turut berkongsi insiden terbaharu di Malaysia melibatkan video lucah palsu dihasilkan melalui teknik 'deepfake' menggunakan teknologi AI yang digunakan untuk memeras ugut sekurang-kurangnya 10 ahli parlimen dan exco negeri.

Beliau menekankan apabila teknologi canggih seumpama itu jatuh ke tangan kumpulan penjenayah, setiap orang - daripada pegawai berpangkat tinggi hinggalah kepada rakyat biasa - berpotensi menjadi mangsa.

Ahli panel lain forum tersebut termasuk pengerusi Myanmar Narrative Think Tank dan pengerusi Yangon Media Group, Ko Ko; kolumnis The Manila Times Anna Uy; dan wartawan Daily News (Thailand) Darunee Teeraappong.

Pengarah urusan Global Times (English Edition) China, Liu Yang bertindak sebagai pemudah cara bagi forum itu.

Sementara itu, Uy berkata terdapat beberapa pemacu pertumbuhan yang mempunyai potensi di bawah rangka kerja ASEAN+3, antaranya ekonomi digital dan e-dagang, pembangunan hijau dan mampan, serta keterjaminan makanan dan teknologi pertanian.

Selain itu, katanya, ASEAN+3 juga boleh membantu ASEAN mengelak daripada terlalu bergantung kepada pasaran di luar dari rantau itu.

“Dengan memperdalam rantaian nilai serantau yang dihubungkan kepada sektor pembuatan padu di China, teknologi canggih Jepun dan Korea serta sumber dan tenaga buruh ASEAN, kita boleh mewujudkan kerangka yang lebih seimbang dan berdaya tahan,” katanya.

Uy juga berkata melangkaui barangan dan modal, kebudayaan dan pelancongan masih dianggap sebagai pemacu pertumbuhan yang kurang penting.

"Namun begitu, saya optimis kerjasama China-ASEAN bukan lagi hanya berkisar tentang jumlah perdagangan. Ia mencakupi usaha bersama untuk mencipta masa depan bagi ekonomi serantau. Kita boleh menyelaraskan keterangkuman, kemampanan dan transformasi digital dalam ASEAN+3.

"Dalam hal ini, perkongsian seumpama ini boleh menjadi model bagi kerjasama Selatan-Selatan dan ekonomi global multipolar, yang sesuai untuk negara membangun," katanya.

Forum Kerjasama Media 2025 BRI yang bermula semalam, disertai lebih 200 wakil dari 87 negara, organisasi antarabangsa dan serantau, serta 165 saluran dan institusi media di seluruh dunia.

Acara itu, yang diadakan di Kunming, Wilayah Yunnan, China, dianjurkan bersama oleh People's Daily, Jawatankuasa Parti Komunis China (PKC) Wilayah Yunnan dan kerajaan Wilayah Yunnan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan