JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Tahan Lapan Lelaki Kes Curi, Beli Kabel ECRL

17/09/2025 04:19 PM

TEMERLOH, 17 Sept (Bernama) -- Polis menahan lapan lelaki kumpulan “Geng Musang” dan “Geng Jep Gambang” disyaki terlibat mencuri serta membeli kabel projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dengan anggaran kerugian lebih RM825,000. 

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata mereka berusia antara 29 hingga 45 tahun ditahan menerusi serbuan di daerah ini, Kuantan dan Bentong dari 10 hingga 14 Sept. 

“Enam daripada mereka dipercayai mencuri kabel manakala dua lagi pekerja dan pemilik kedai barang lusuh membeli komponen itu,” katanya pada sidang media di Balai Polis Lanchang di sini hari ini.  

Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Datuk Mohd Yusri Othman.

Yahaya berkata polis merampas komponen projek itu dianggarkan seberat hampir satu tan dengan panjang hampir lima kilometer seperti beberapa gelung kabel tembaga dan 18 batang kabel dipotong.

Semua kabel ditemukan di kedai barang lusuh di Kuala Lumpur, di belakang sebuah rumah dan kawasan hutan di Temerloh. 

“Siasatan mendapati kabel itu dijual pada harga lebih RM25 sekilogram,” katanya. 

Beliau berkata lima yang ditahan positif methamphetamine selain terdapat suspek mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah. 

Siasatan terhadap enam suspek dijalankan mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 431A Kanun Keseksaan manakala dua lagi di bawah Seksyen 411 kanun sama. 

Yahaya berkata polis kini memburu tiga lelaki termasuk dua warga Kemboja ahli “Geng Musang” serta seorang lelaki tempatan “Geng Jep Gambang” bagi membantu siasatan, dan meminta kerjasama mereka yang mempunyai maklumat. 

Dalam pada itu, Yahaya berkata pihaknya telah meminta pihak ECRL meningkatkan kawalan keselamatan di sepanjang 258 kilometer jajaran projek yang melibatkan pembinaan tujuh stesen di Pahang. 

Sebelum ini, China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCCECRL) memaklumkan kabel sepanjang 1,080 meter di jajaran Temerloh dan Lanchang serta 599 meter di jajaran Lanchang dan Bentong dicuri dalam tempoh hanya dua minggu, yang berpotensi menjejaskan jadual penyiapan projek.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan