AM

Mangsa Bencana Di Sabah Harap Bantuan Wang Ihsan Diagih Segera Secara Telus, Adil

16/09/2025 04:22 PM

Oleh Arthur Edward

PENAMPANG, 16 Sept (Bernama) -- Mangsa yang terkesan akibat bencana banjir dan tanah runtuh di Sabah berharap agihan Bantuan Wang Ihsan (BWI) daripada kerajaan negeri dan pusat diagihkan dengan segera secara telus serta adil.

Penduduk Kampung Tuawon di Penampang Agnes Kalos, 50, yang terjejas akibat banjir berkata kerajaan telah mengumumkan bantuan untuk meringankan beban setiap mangsa yang terlibat dalam bencana ini.

"Namun, kita berharap bantuan kewangan ini dapat dipantau agar dapat diagihkan dengan telus dan hanya yang benar-benar layak menerima sumbangan ini," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan segera sebanyak RM10 juta melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara bagi membantu mangsa bencana di Sabah.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah pula memaklumkan BWI antara RM1,000 hingga RM10,000 akan disalur kepada mangsa bencana di negeri itu bagi meringankan beban yang ditanggung ketika ini.

Sebanyak RM1,000 diberikan kepada setiap ketua isi rumah yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) manakala waris mangsa yang terkorban akibat tanah runtuh pula menerima BWI kematian sebanyak RM10,000.

Setakat 8 pagi tadi, JPBN memaklumkan bahawa 2,468 orang daripada 656 keluarga berada di 19 PPS di Sabah.

Bagi seorang lagi mangsa banjir dari kampung sama iaitu Majory Yumin, 54, bantuan kerajaan itu sangat meringankan beban setiap mangsa yang terlibat.

"Kami sangat mengalu-alukan bantuan yang diumumkan kerajaan semalam dan berharap ia sampai kepada mangsa seperti kami yang sangat memerlukan… sebelum ini, banyak mangsa yang mengeluh dan tidak berpuas hati kerana bantuan berkenaan tidak sampai...," katanya.

Devie Dore Lawrence, 24, dari Kampung Tengah di Kinarut, Papar pula meminta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang tampil menyalurkan bantuan dapat diselaras dengan sebaik mungkin.

"Kita tahu banyak NGO dan pihak individu yang berbesar hati tampil untuk membantu menyalurkan bantuan namun adalah lebih baik bantuan berkenaan dapat dikumpul oleh agensi tertentu sebelum diagihkan supaya ia dapat disalurkan dengan lebih teratur," katanya.

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan