KUALA NERUS, 16 Sept (Bernama) -- Jika disebut tentang pekasam, pasti terlintas dalam fikiran ialah ikan atau daging yang diperam dengan asam, garam dan beras sangai yang menjadi menu kegemaran masyarakat terutama di sebelah utara tanah air.
Bagaimanapun di Kampung Kubang Badak di sini, sekumpulan wanita mencipta kelainan dengan menghasilkan pekasam cendawan tiram melalui bimbingan pensyarah Fakulti Perikanan dan Sains Makanan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Dr Faridah Yahya.
Ketua Projek Esah Mahmod, 63, berkata projek berkenaan dimulakan pada Julai tahun lepas di bawah Program Komuniti@UniMADANI.
Esah berkata sebanyak 10 peserta termasuk dua ibu tunggal terlibat dalam projek penanaman cendawan tiram kelabu yang berpusat di Surau At-Taqwa di kampung itu.
"Pada awalnya kami hanya menjual cendawan segar yang dibekalkan kepada peniaga-peniaga kedai celup tepung di sekitar Kuala Nerus.
"Bagaimanapun selepas perbincangan dengan pihak UMT yang memantau projek, kami merancang untuk memperluas pasaran dengan mengeluarkan produk hiliran dan terhasillah pekasam cendawan tiram," katanya ketika ditemui Bernama di Surau At-Taqwa.
Esah berkata pada masa ini pihaknya hanya menghasilkan produk secara kecil-kecilan, iaitu mengikut tempahan yang diterima daripada pelanggan.
Sekilogram cendawan segar, katanya mampu menghasilkan 10 pek pekasam cendawan tiram yang dijual pada harga RM5 bagi produk seberat 150 gram.
Selain itu, proses pembuatannya juga amat mudah dan sesuai untuk golongan vegetarian dan mereka yang alergi kepada makanan laut.
"Cendawan hanya perlu dibasuh, dikeringkan, dicarik-carik dan digaul dengan garam, gula, asam keping dan beras sangai sebelum diperam selama dua hari.
"Produk ini masih baharu… kami dalam proses mempromosi dan memperkenal produk ini kepada dunia luar dengan bantuan pensyarah dan pelajar UMT. Sebelum ini kami pernah hasilkan serunding cendawan, rasanya sangat sedap tetapi prosesnya sangat lama dan cerewet," katanya.
Esah berkata projek penanaman cendawan tiram kelabu yang dibiayai dengan dana sebanyak RM40,000 oleh Kerajaan Persekutuan itu membantu menjana pendapatan penduduk yang rata-ratanya terdiri daripada golongan B40.
Pada peringkat awal, katanya terdapat 5,000 bongkah cendawan yang diusahakan dalam dua premis dalam kawasan surau.
"Projek ini telah memberi pulangan antara RM700 hingga RM1,000 sebulan kepada peserta wanita yang terdiri daripada warga emas dan ibu tunggal.
"Selain menambah sumber pendapatan, projek ini juga memberi manfaat kesihatan kepada warga surau yang datang bersama-sama menjaga projek," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial