JENAYAH & MAHKAMAH

Kanak-kanak 10 Tahun Tertimbus Tanah Runtuh Ditemukan Maut

16/09/2025 09:51 AM

KOTA KINABALU, 16 Sept (Bernama) -- Setelah lebih 10 jam operasi mencari dan menyelamat diaktifkan, mangsa terakhir yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Marahang Tuntul, Papar akhirnya ditemukan pada 8.45 malam, sebelum operasi tamat pada 2.05 pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah Mohd Pisar Aziz berkata mangsa, iaitu kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Dalam kejadian pada 9.20 pagi semalam, tiga mangsa terdiri ibu dan anak-anaknya dilaporkan tertimbus.

Mangsa pertama, iaitu ibu berusia 34 tahun itu ditemukan pada 4.20 petang, manakala anak lelakinya berusia enam tahun dijumpai pada 4.25 petang.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian tanah runtuh melibatkan sebuah rumah pada 9.20 pagi, sebelum anggota Balai Bomba dan Penyelamat Papar tiba di lokasi kejadian pada 9.34 pagi.

“Mangsa telah dikeluarkan oleh pasukan bomba yang turut dibantu oleh pasukan penyelamat lain.

“Semua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan dan mayat diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Penemuan kanak-kanak itu menjadikan angka yang terkorban akibat tanah runtuh yang melanda Sabah sejak Jumaat lepas sebanyak 13 orang. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan