GEORGE TOWN, 15 Sept (Bernama) -- Penang FC mengesahkan slot ke suku akhir Piala FA selepas menewaskan Melaka FC 3-0 pada perlawanan kedua Pusingan 16 di Stadium Bandaraya di sini malam ini, sekali gus mara dengan agregat 5-0.
Berbekalkan kelebihan dua gol pada perlawanan pertama, skuad Harimau Kumbang turun penuh semangat di hadapan penyokong sendiri dan menguasai permainan sebaik wisel permulaan ditiup dengan misi menambah jaringan.
Kapten pasukan Stefano Brundo menceriakan penyokong tuan rumah seawal minit ke-11 apabila mudah menyempurnakan bola lantunan hasil tandukan Danilo Sipovac, yang terlebih dahulu singgah di palang gol.
Penyerang import Tchetche Kipre hampir menggandakan jaringan lima minit kemudian, namun tandukannya sedikit tersasar ke sisi gawang.
Melaka FC cuba bangkit menerusi percubaan Muhammad Sharel Fikri Md Fauzi pada minit ke-22 tetapi rembatan lemah penyerang berusia 31 tahun itu hanya melewati gawang Penang FC.
Penang FC melebarkan jurang pada minit ke-39 menerusi pemain bawah 23 tahun Ahmad Haziq Kutty Abba yang merembat masuk gol kedua perlawanan, sekali gus memberikan tekanan ke atas pasukan pelawat.
Tersentak dengan jaringan itu, skuad bimbingan K. Devan cuba mengatur serangan, namun gagal mencipta sebarang gol sehingga tamat separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, Penang FC mengekalkan rentak menyerang menerusi beberapa percubaan Kipre dan Dylan Wenzel-Halls tetapi penyudah yang kurang tajam menggagalkan usaha mereka untuk menambah jaringan.
Pasukan pelawat pula sesekali melancarkan serangan balas tetapi benteng pertahanan tuan rumah berjaya menutup ruang.
Pada minit ke-78, Penang FC terpaksa bermain dengan 10 orang selepas Jose Porteria diarah keluar padang oleh pengadil perlawanan S. Logeswaran susulan kekasaran ke atas pemain lawan.
Bagaimanapun, ia tidak melemahkan semangat tuan rumah apabila Kipre menebus kegagalannya sebelum ini dengan menyumbat gol ketiga pada minit ke-80.
Kedudukan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan, sekali gus menyaksikan Penang FC mara ke suku akhir dengan agregat 5-0.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial