Daripada Mohd Fharkhan Abdul Ghapar
DOHA, 15 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan bahawa keutamaan kerajaan ketika ini adalah memastikan semua bantuan awal sampai kepada mangsa bencana banjir dan tanah runtuh di Sabah.
Beliau berkata pemantauan rapi sedang dilakukan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), kerajaan negeri serta Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang secara peribadi mengikuti perkembangan di lapangan.
Anwar juga mahu seluruh jentera Kerajaan Persekutuan dikerah untuk bersama-sama dan membantu kerajaan negeri serta pihak berkuasa di daerah terbabit bagi menangani bencana itu.
“Kita melahirkan rasa prihatin dan sedih atas apa yang menimpa Sabah, khususnya mangsa yang terkorban serta beberapa keluarga lain yang terkesan akibat kemusnahan harta benda, rumah dan kerosakan kemudahan awam.
“Tindakan awal juga harus disegerakan, khususnya melibatkan kemudahan awam, jalan-jalan kecil, sekolah, klinik kesihatan dan sebagainya,” katanya kepada Bernama dan RTM sebelum menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam di sini.
Pada masa sama, Perdana Menteri turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban akibat tanah runtuh.
Sembilan individu maut dalam insiden di Kampung Cenderakasih, Kota Kinabalu dan Kampung Mook, Papar hari ini susulan hujan lebat berterusan sejak malam tadi.
Selain itu, seramai 863 orang daripada 220 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara di empat daerah terjejas banjir iaitu Penampang, Beaufort, Membakut dan Tawau setakat petang ini.
Terdahulu, Anwar meluluskan peruntukan segera sebanyak RM10 juta melalui NADMA bagi membantu mangsa terjejas banjir di Sabah.
Beliau berkata jumlah itu adalah tambahan kepada RM11 juta yang telah disalurkan melalui kerajaan negeri bagi tujuan pembaikan segera kemudahan asas di kawasan terlibat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial