KUCHING, 15 Sept (Bernama) -- Kesatuan Guru Sarawak (STU) bakal menerima sebidang tanah di Samarahan daripada kerajaan negeri untuk pembinaan bangunan baharu yang akan dijadikan pusat aktiviti termasuk asrama.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata lokasi itu dipilih kerana terdapat banyak institusi pengajian tinggi di sekitar Samarahan selain kedudukannya yang berhampiran dengan bandar raya Kuching serta mudah diakses dari pelbagai arah.
“Kita juga pilih lokasi berdekatan dengan lapangan terbang baharu yang akan dibina di Tanjung Embang supaya memudahkan semua pihak. Inilah masa depan STU yang saya bayangkan,” katanya pada Majlis Makan Malam Jubli Intan ke-60 STU di sini, malam tadi.
Beliau mencadangkan agar bangunan itu bukan sahaja dijadikan asrama, malah digunakan sebagai lokasi penganjuran kursus, seminar dan perhimpunan, selaras dengan agenda pembangunan pendidikan serta infrastruktur negeri.
Abang Johari turut mengumumkan kerajaan Sarawak akan membina makmal sains bersama (common lab) di setiap daerah bagi memastikan semua pelajar dapat mengikuti pembelajaran sains secara lebih berkesan, khususnya di sekolah yang masih belum mempunyai kemudahan tersebut.
Menurutnya, langkah itu diambil selepas kerajaan mendapati tidak semua sekolah memiliki makmal sains sendiri.
“Bagi mata pelajaran seperti kimia, fizik dan biologi, kemudahan makmal sangat penting untuk pelaksanaan latihan amali. Pembinaan makmal bersama ini akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri.
“Dengan adanya makmal ini, pelajar dapat mempelajari sains secara lebih praktikal dan teratur,” katanya.
Beliau menambah, makmal berkenaan akan ditempatkan di lokasi strategik setiap daerah dan boleh digunakan bersama oleh sekolah-sekolah berdekatan yang tidak mempunyai makmal sains sendiri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial