KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Malaysia melakar sejarah selepas memenangi pingat gangsa pertama kategori lelaki, sekali gus menamatkan penantian dua dekad sejak penampilan pertama pada Kejohanan Kanu Polo Asia 2025 di Kompleks Sukan Air Putrajaya hari ini.
Skuad kebangsaan menewaskan Singapura 2-0 pada perlawanan penentuan tempat ketiga selepas tewas 2-4 kepada Jepun pada saingan separuh akhir edisi ke-19 kejohanan itu.
Hasil gabungan kejayaan skuad bawah 21 tahun (B-21), Malaysia menutup tirai kejohanan dengan satu pingat emas dan dua gangsa, pencapaian terbaik negara dalam sejarah penganjuran kejohanan berprestij itu.
Skuad wanita B-21 menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia sejak penampilan sulung pada 2005, manakala skuad lelaki B-21 pula meraih pingat gangsa.
Naib Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA) Raja Shahrul Azremel berkata kejayaan itu membuktikan kekuatan negara dalam sukan berkenaan semakin meningkat dan menggesa agar acara kanu polo disenaraikan pada Sukan SEA 2027 di Malaysia.
“Keputusan ini menunjukkan Malaysia kini mempunyai kemampuan untuk memenangi emas. Dengan skuad B-21 ini meningkat dewasa dalam tempoh dua tahun, pasukan senior akan cukup kuat bagi membawa pulang satu atau dua emas untuk negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Taiwan menewaskan Jepun pada masa tambahan untuk meraih emas pada perlawanan akhir kategori lelaki, sebelum menambah kejuaraan wanita selepas menundukkan Singapura 6-1.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial