AM

Nikmati Perjalanan Lebih Lancar Dengan Kad NFC, RFID Touch 'n Go Sempena Musim Cuti

13/09/2025 10:41 PM

KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) -- Touch ’n Go Sdn Bhd (TNG) menggalakkan orang ramai menggunakan kad komunikasi medan dekat (NFC) dan tag Pengecaman Frekeunsi Radio (RFID) bagi menikmati perjalanan lebih lancar sempena cuti hujung minggu panjang dan sambutan Hari Malaysia.

TNG dalam kenyataan hari ini memaklumkan pengguna boleh menambah nilai kad atau charm TNG berteknologi NFC dengan mudah menerusi aplikasi TNG eWallet, tanpa memerlukan wang tunai atau ke kios tambah nilai.

“Kad dan charm NFC ini hadir dalam pelbagai reka bentuk menarik dan turut menampilkan kerjasama dengan artis serta jenama tempatan, sejajar dengan komitmen TNG dalam menyokong kreativiti serta warisan budaya Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, TNG menasihatkan pengguna untuk mendaftarkan kad mereka di aplikasi TNG eWallet bagi tujuan keselamatan memandangkan proses pengesahan identiti pengguna (KYC) akan memastikan baki kad kekal dilindungi sekiranya kad hilang atau tercicir.

“TNG RFID yang dihubungkan ke TNG eWallet pula membolehkan pengguna melalui lorong tol tanpa perlu berhenti. Bagi situasi baki tidak mencukupi, ciri baharu SOS Balance TNG membolehkan pengguna layak melepasi tol dan diberikan tempoh 24 jam untuk menyelesaikan bayaran tanpa caj tambahan,” katanya.

TNG juga menyatakan komitmen berterusan dalam meningkatkan kemudahan, keselamatan dan mobiliti pengguna, serta memperkenalkan inovasi baharu agar perjalanan rakyat Malaysia sentiasa lancar dan bebas daripada tekanan.

Produk berkenaan boleh dibeli secara dalam talian melalui laman sesawang rasmi TNG Shop di https://shop.touchngo.com.my atau secara fizikal di Pusat Servis dan Jualan TNG di Nu Sentral dan Bangsar South, serta di beberapa kedai serbaneka dan stesen minyak terpilih.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan