SUKAN

Penyertaan Sukarelawan SUKMA Selangor Dibuka Awal Tahun Depan

12/09/2025 07:53 PM

SHAH ALAM, 12 Sept (Bernama) -- Proses permohonan dan pendaftaran sebagai sukarelawan bagi Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor akan dibuka awal tahun hadapan.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berkata penyertaan akan dibuka khususnya kepada anak muda Selangor termasuk pelajar sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi (IPT) serta orang awam yang berminat.

Mohd Najwan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana SUKMA ke-22 Selangor 2026 berkata pihaknya akan turut mengaktifkan pasukan Selangor Volunteer (SERVE) di bawah Majlis Sukan Negeri (MSN) dan Team Selangor bagi menyediakan sukarelawan dalam jumlah yang diperlukan.

“Sukarelawan yang terlibat akan disediakan dengan modul latihan yang bersesuaian selain mereka juga akan dilengkapkan dengan kemahiran dan pengetahuan asas tentang bagaimana hendak menyambut tetamu, protokol dan sebagainya. 

“Ini penting kerana mereka akan membawa imej negeri (sebagai tuan rumah). Saya sudah bincang dengan pihak Sekretariat SUKMA Selangor dan mereka sedang berhubung dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk perkara tersebut (modul latihan),” katanya pada sidang media sempena pengumuman Kejohanan Sukan Selangor (SUKSES) ke-15 di sini, hari ini.   

Sebelum ini, Mohd Najwan dilaporkan berkata pihaknya menyasarkan 3,000 penyertaan sukarelawan bagi menjayakan penganjuran SUKMA dan Para SUKMA Selangor 2026.

Katanya SUKMA menjadi platform untuk sukarelawan menambah ilmu berharga mengenai tatacara meraikan tetamu, mengurus pelbagai keperluan dan mengendalikan penganjuran kejohanan sukan bertaraf kebangsaan.

Dalam pada itu, Mohd Najwan berkata persiapan bagi penganjuran temasya dwitahunan itu hampir mencapai 60 peratus membabitkan kerja-kerja naik taraf dan baik pulih kemudahan sedia ada.

Beliau berkata kerajaan negeri menyasarkan semua persiapan termasuk venue bagi penganjuran acara selesai selewatnya April tahun hadapan. 

Dalam pada itu, Mohd Najwan berkata SUKSES yang akan berlangsung pada 17 Sept hingga 5 Okt ini menyaksikan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) bertindak selaku tuan rumah kepada sembilan daerah terlibat.

Sebanyak 11 jenis sukan ditampilkan iaitu boling padang, taekwondo, sepak takraw, bola jaring, ragbi, pencak silat, olahraga, bola keranjang, bola tampar, memanah dan ping pong.

Lebih 2,300 atlet bawah umur 20 tahun bakal bersaing dalam 211 acara yang dipertandingkan menggunakan format SUKMA bagi memberi atlet pendedahan awal.

Pada edisi lepas, kontinjen daerah Petaling dinobatkan juara keseluruhan setelah mengutip 76 pingat termasuk 33 emas dalam temasya yang diadakan di daerah Hulu Langat. 

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan