EKONOMI

Makanan Haiwan, Kacang Soya Mentah Dikecualikan Cukai Jualan -- MOF

12/09/2025 09:38 PM

PUTRAJAYA, 12 Sept (Bernama) -- Makanan haiwan termasuk kacang soya mentah yang merupakan komponen utama dalam penghasilan makanan haiwan, kini dikecualikan daripada Cukai Jualan atau pada kadar sifar sebagai langkah memastikan kestabilan harga barangan makanan asas seperti ayam, telur dan daging.

Ketika mengumumkannya hari ini, Kementerian Kewangan (MOF) berkata keputusan itu juga dibuat berdasarkan maklum balas industri bahawa kacang soya merupakan input utama dalam penghasilan makanan haiwan.

Mengikut lampiran MOF, makanan haiwan berkadar sifar cukai jualan adalah jenis yang sesuai untuk penternakan ayam itik, khinzir, udang dan lain-lain (yang tiada dalam senarai).

“MOF mengambil maklum laporan media berhubung pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap bahan mentah makanan haiwan.

“Bagi bahan mentah lain yang turut digunakan dalam formulasi makanan haiwan, MOF sedang meneliti isu ini secara menyeluruh, termasuk melalui sesi libat urus dan semakan teknikal bersama pihak berkepentingan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut MOF, Kerajaan MADANI kekal tekad untuk memastikan dasar percukaian yang lebih adil, mampan dan menyokong daya saing sektor penternakan negara.

-- BERNAMA

 

TAG: MOF, kestabilan, harga, makanan, cukai, ekonomi

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan