PUTRAJAYA, 12 Sept (Bernama) -- Bayaran sewa bagi kediaman sementara penduduk Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur ditanggung sepenuhnya oleh pemaju sehingga projek perumahan baharu di kawasan berkenaan siap dibina.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata penduduk yang setuju berpindah kini tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) atau rumah sewaan di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Beliau berkata langkah itu merupakan sebahagian daripada komitmen pemaju bagi menjaga kebajikan penduduk terbabit.
“Saya difahamkan mereka yang telah bersetuju untuk berpindah, kos sewanya ditanggung pemaju sehingga mereka kembali ke kediaman baharu nanti,” katanya pada sidang media khas di sini hari ini.
Menurut Zaliha, isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru merupakan antara legasi tertunggak sejak lebih sembilan tahun lepas, yang kini diberi perhatian serius oleh Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, proses pengambilalihan tanah itu bermula sejak 2021 menerusi notis di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 iaitu sebelum pentadbiran kerajaan MADANI, dan kini kerajaan berusaha menyelesaikan isu tersebut dengan kaedah yang lebih menyeluruh serta adil kepada penduduk.
“Kalau kita duduk di tempat mereka yang menunggu hampir sembilan tahun, tentu kita akan rasa terkesan. Sebab itu kita ambil tanggungjawab ini secara serius,” katanya sambil menambah kerajaan komited memastikan penyelesaian dilakukan mengikut lunas undang-undang.
Zaliha turut menjelaskan bahawa lebih 70 peratus penduduk telah bersetuju dengan pelan pembangunan semula manakala bakinya sekitar 28 peratus masih menolak terutamanya kerana tidak berpuas hati terhadap isu pampasan.
“Penduduk sendiri nyatakan mereka tidak menolak pembangunan, cuma ada yang pertikai pampasan. Bagi mereka yang masih tidak setuju, proses mahkamah sentiasa terbuka untuk dirujuk,” katanya.
Beliau juga menegaskan bahawa dakwaan kononnya pembangunan itu akan mengeluarkan masyarakat Melayu dari kawasan bandar adalah tidak benar, sebaliknya projek berkenaan akan mengembalikan semula penduduk ke kawasan asal yang dilengkapi kediaman lebih selesa.
“Tidak timbul soal gentrifikasi kerana mereka akan kembali ke kawasan asal selepas rumah siap. Malah, reka bentuk kediaman baharu diminta supaya mengekalkan identiti Melayu dengan elemen seni bina tempatan,” katanya sambil menambah pandangan penduduk turut diambil kira termasuk penyediaan lif yang boleh memuatkan keranda bagi memudahkan urusan apabila berlaku kematian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial