JOHOR BAHRU, 11 Sept (Bernama) -- Hujan lebat berterusan sejak petang tadi menyebabkan Bangunan Lily di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dekat sini dilanda banjir kilat.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Ling Tian Soon berkata kejadian berlaku kira-kira 4 petang susulan kegagalan sistem saliran dan perparitan, namun keadaan kembali terkawal apabila air surut sepenuhnya sekitar 4.45 petang.
Beliau yang meninjau lokasi itu berkata Bangunan Lily yang menempatkan Klinik Pakar Psikiatri dan Kesihatan Mental merupakan kawasan rendah dan antara bangunan pertama yang terjejas sekiranya berlaku hujan lebat berpanjangan.
“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor telah melawat lokasi kejadian dan setakat 7.20 malam tadi, banjir kilat di kawasan itu sudah surut sepenuhnya.
“Menurut JPS, hujan sangat lebat direkodkan di kawasan terbabit iaitu kira-kira 30 milimeter, sekali gus menyebabkan sistem saliran sedia ada tidak dapat menampung aliran air,” katanya.
Beliau berkata punca kejadian juga telah dikenal pasti dan kerajaan negeri akan membantu menyelesaikan isu berkenaan.
Sementara itu, HSA memaklumkan mereka mengambil maklum mengenai video tular yang memaparkan situasi banjir kilat dan mengucapkan terima kasih atas keprihatinan orang ramai.
HSA memaklumkan kerja-kerja pembersihan kawasan terjejas juga telah dilaksanakan segera.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial