PUTRAJAYA, 11 Sept (Bernama) -- Pihak berkepentingan diminta menyuarakan cadangan konstruktif kepada kerajaan sepanjang berlangsungnya sesi libat urus berhubung penggubalan rang undang-undang (RUU) antibuli, sehingga akhir bulan ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata selain berkongsi cadangan ketika sesi libat urus bersemuka, mereka juga boleh memuat naik cadangan menerusi portal khas yang dibangunkan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU), iaitu https://petari.bheuu.gov.my.
"Objektif townhall ini untuk mendapatkan respons daripada banyak pihak, diikuti dengan portal yang dirasmikan. Selain townhall, mereka juga boleh muat naik pandangan dan kita akan menilai.
"Kalau kita tengok tadi (townhall) ramai yang beri pandangan berhubung isu tanggungjawab, liabiliti, rotan dan macam-macam lagi. Namun, buat masa ini kita tidak memberikan sebarang respons," katanya pada sidang media selepas menghadiri Sesi Townhall 'Antibuli' anjuran BHEUU.
Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Azalina berkata sesi libat urus berkenaan akan diteruskan di beberapa negeri lain termasuk di Selangor, Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Perak bermula minggu hadapan.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan rang undang-undang berkenaan antibuli itu dijangka dibentangkan di Parlimen sesi Oktober ini selepas selesai sesi libat urus berkenaan.
"Jadi, kami berharap boleh dapatkan kelulusan daripada Dewan Negara dan Dewan Rakyat dan kita boleh kuat kuasa pada tahun depan.
"… kita mahu mendengar lebih banyak pandangan daripada orang ramai. Tidak bermakna jika masyarakat hanya meluahkan kemarahan tanpa memberikan cadangan yang konstruktif," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial