SERDANG, 11 Sept (Bernama) -- Ladies’ Golf Tournament (The Ladies') 2025 dijadualkan dari 12-15 Okt ini di The Mines Resort & Golf Club di sini, membawa visi jangka panjang untuk menjadikan Malaysia sebagai tuan rumah bagi acara golf wanita terkemuka di dunia.
Pengasas The Mines Resort & Golf Club Tan Sri Lee Kim Yew berkata kejohanan yang julung kali diadakan itu bertujuan mengangkat martabat golf wanita di Malaysia dan serantau.
Malaysia sebelum ini menurutnya pernah menjadi negara pertama yang menawarkan hadiah wang berjumlah AS$1 juta iaitu pada 2000.
"Kami harap suatu hari nanti, di Barat, ada kejohanan yang sangat terkenal dipanggil Masters. Di Timur, iaitu di Malaysia, ada kejohanan yang sangat terkenal dipanggil 'the Ladies'. Itu visi kami," katanya kepada pemberita pada sidang media The Ladies’ 2025 di sini, hari ini.
Ahli perniagaan itu juga menekankan kepentingan mewujudkan lebih banyak peluang kepada pemain tempatan untuk maju dan menurutnya pemain golf profesional wanita Malaysia masih pada peringkat awal kerjaya mereka justeru memerlukan lebih banyak sokongan, peluang dan kejohanan.
“Kebaikan, dari segi ganjaran, masih belum ada. Dari segi kemahiran, mereka sudah ada tetapi bukan dari segi peluang. Tiada kejohanan bermakna tiada wang hadiah dan sebagai seorang profesional, anda hidup dengan hadiah wang," katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor berkata kejohanan itu akan menyediakan platform penting kepada profesional tempatan khususnya pemain golf wanita.
"Acara ini diadakan untuk memberi mereka peluang khusus terutamanya untuk menyokong kerjaya pemain golf wanita di Malaysia.
"Kami juga menjemput 30 pemain amatur terkemuka untuk menimba pengalaman berharga bersaing dengan pemain profesional," kata Mohd Anwar yang juga Pengerusi Eksekutif Mines Resort & Golf Club.
The Ladies' 2025 yang menawarkan hadiah wang berjumlah RM100,000 dianjurkan oleh The Mines Resort & Golf Club dengan kerjasama Persatuan Golf Profesional Malaysia (PGM).
Kejohanan itu bakal menampilkan 60 pemain golf wanita terbaik Malaysia terdiri daripada 30 profesional dan 30 amatur, berentap dalam saingan 54 lubang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial