AM

AMMTC Ke-19: Malaysia, Korea Selatan Teroka Kerjasama Penguatkuasaan Maritim

11/09/2025 06:39 PM

MELAKA, 11 Sept (Bernama) -- Malaysia dan Korea Selatan hari ini sepakat memperkukuh kerjasama keselamatan awam dengan memberi tumpuan kepada agensi penguatkuasaan maritim termasuk meneroka memorandum persefahaman (MoU) khusus dalam bidang berkenaan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata perkara berkenaan antara tiga teras utama hasil mesyuarat dua hala dengan Naib Menteri Kehakiman Korea Selatan Jin Soo Lee selepas Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) ke-19.

“Fokus kini harus diberikan kepada isu keselamatan awam dan kerjasama agensi dan kita bersetuju untuk meneroka bidang yang belum sepenuhnya diterokai termasuk penguatkuasaan maritim. 

“Korea Selatan menawarkan latihan dalam bentuk peningkatan kapasiti dan saya menyambut baik cadangan itu,” katanya pada sidang media di sini hari ini. 

Beliau berkata kedua-dua negara juga bersetuju untuk berbincang ke arah memeterai satu kerangka kerjasama lebih substantif melalui MoU, sekali gus memantapkan lagi hubungan dua hala yang sebelum ini banyak tertumpu kepada aspek politik dan ekonomi.

Saifuddin Nasution berkata Korea Selatan turut berminat mempelajari pengalaman Malaysia dalam menangani isu penyalahgunaan dadah, khususnya peralihan trend penggunaan daripada dadah konvensional kepada dadah sintetik yang kebanyakannya diseludup menggunakan jalan laut.

“Malaysia telah lebih empat dekad berdepan dengan cabaran dadah dan berdasarkan laporan terbaru UNODC (Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah), strategi global kini adalah mengekang punca bekalan. Kita bertukar pengalaman dengan Korea Selatan dalam aspek ini,” katanya.

Terdahulu, beliau mengadakan mesyuarat dua hala kira-kira 30 minit dengan Jin, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Awang Alik Jeman, Setiausaha Bahagian Keselamatan Datuk Zulkifli Abidin, Setiausaha Bahagian Antarabangsa Mohd Azlan Razali serta Timbalan Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Datuk Saiful Lizan Ibrahim.

Delegasi Korea Selatan turut dihadiri Pengarah Hal Ehwal Jenayah Antarabangsa Jiyeon Lee.

Mesyuarat AMMTC ke-19 berlangsung di Melaka dari 8 Sept hingga esok, menghimpunkan menteri ASEAN serta rakan dialog dan pegawai kanan keselamatan untuk memperkukuh kerjasama membanteras jenayah rentas sempadan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan