PUTRAJAYA, 11 Sept (Bernama) -- Penjawat awam yang merancang untuk memohon persaraan pilihan pada usia muda perlu memastikan mereka mempunyai pelan sokongan kukuh termasuk mempunyai kerjaya kedua, pendapatan sampingan dan kewangan stabil bagi mengelakkan kesulitan selepas bersara.
Timbalan Pengarah Bahagian Pencen Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Anom Akmar Mohd Omar berkata antara faktor utama yang perlu diambil kira sebelum membuat keputusan itu ialah komitmen hutang, sokongan keluarga serta kemampuan untuk meneruskan kelangsungan hidup tanpa bergantung pada bantuan sosial.
“Apabila penjawat awam berumur kira-kira 40-an mahu bersara awal, mereka perlu ada pelan sandaran. Pastikan sudah ada pekerjaan lain, pendapatan lain atau sokongan yang kuat … jangan sampai selepas bersara pilihan, timbul masalah kewangan sehingga terpaksa merayu untuk batalkan persaraan atau memohon bantuan seperti e-Kasih,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi audio siar JPA yang disiarkan selama satu jam secara langsung melalui Facebook JPA hari ini, yang menarik ribuan penonton.
Anom Akmar berkata terdapat dua kumpulan besar penjawat awam yang sering memohon persaraan awal.
Bagi kumpulan usia 40-an, katanya lazimnya mereka berbuat demikian kerana ingin mencuba kerjaya baharu, melanjutkan pelajaran, menyertai syarikat swasta atau luar negara, atau meneruskan perniagaan keluarga.
“Contohnya, mereka bekerja dari usia 25 tahun, dan apabila mencapai umur 40 tahun, mereka mahu tukar kerjaya baharu, tingkatkan kemahiran, atau terima tawaran kerja di GLC (syarikat berkaitan kerajaan), syarikat swasta bahkan di luar negara. Ini satu bentuk perancangan jangka panjang, tetapi mereka perlu benar-benar bersedia,” katanya.
Sementara itu, bagi kumpulan usia 50-an yang menghampiri umur persaraan wajib 60 tahun, alasan utama ialah faktor kesihatan, keinginan berehat bersama-sama keluarga atau kesukaran mengikuti perkembangan teknologi baharu.
“Ramai beralasan ingin bersama dengan pasangan yang sudah bersara, ada juga yang alami masalah kesihatan seperti sakit lutut atau osteoporosis. Trend sekarang ramai mohon persaraan pilihan pada usia 55 tahun kerana layak terus menerima pencen,” katanya.
Anom Akmar berkata syarat minimum untuk persaraan pilihan ialah sudah berkhidmat lebih 10 tahun dan berusia sekurang-kurangnya 40 tahun. Pemohon juga perlu lulus tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menjalani pemeriksaan kesihatan berkala, serta bebas daripada masalah integriti.
“Jika pegawai diiktiraf bankrap, mereka masih boleh memohon persaraan awal, tetapi perlu berbincang dengan ketua jabatan dan mendapatkan pengesahan daripada Jabatan Insolvensi. Akaun bank yang sah perlu dibuka untuk tujuan pembayaran pencen,” katanya.
Beliau berkata penjawat awam harus bijak mengurus kewangan dan menilai risiko sebelum memilih untuk bersara awal.
“Keputusan bersara awal bukan sahaja memberikan kesan kepada individu, malah boleh menjejaskan keluarga dan masyarakat sekiranya tidak dirancang dengan baik,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial