AM

Kerajaan Pusat Lulus RM3 Juta Perkukuh Sistem Kesan Gegaran Di Johor - Onn Hafiz

11/09/2025 02:49 PM

ISKANDAR PUTERI, 11 Sept (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM3 juta bagi pembinaan dua stesen seismologi tambahan (weak motion) di Johor sebagai langkah memperkukuh sistem pemantauan gempa bumi di negeri itu.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata dua stesen baharu berkenaan akan melengkapi enam stesen sedia ada yang turut dinaik taraf, sekali gus meningkatkan keupayaan pengesanan awal gegaran di kawasan berisiko.

Beliau menjelaskan, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha jangka sederhana kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) untuk memperkukuh pemantauan saintifik serta analisis di kawasan terkesan.

“Kerajaan negeri merakamkan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas kelulusan peruntukan RM3 juta ini,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini hari ini.

Selain itu, JMG Johor turut melaksanakan siasatan tanah dan bangunan di kawasan pusat gempa bagi menentukan tahap risiko dengan lebih tepat, sekali gus memastikan keselamatan penduduk sentiasa terjamin.

Beberapa siri gempa bumi lemah berlaku di Segamat dan Batu Pahat bermula pada 24 Ogos 2025 dengan magnitud 4.1, disusuli tujuh gegaran susulan antara 27 Ogos hingga 3 Sept dengan magnitud antara 2.5 hingga 3.4.

Mengulas lanjut, Onn Hafiz berkata kerajaan negeri turut memperkukuh kesiapsiagaan melalui kajian berterusan mengenai garisan sesar dan impak gempa oleh JMG, MetMalaysia serta universiti awam, dengan hasil kajian dibentangkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.

“Semua pembangunan baharu juga perlu mengambil kira piawaian Malaysia National Annex to Eurocode 8 bagi memastikan struktur bangunan tahan gempa,” katanya.

Beliau menambah, penilaian kerentanan terhadap infrastruktur kritikal sedia ada seperti hospital, empangan, pusat data dan kemudahan strategik juga akan dilaksanakan.

Selain itu, garis panduan keselamatan bangunan dan infrastruktur strategik di kawasan berisiko turut dibangunkan, manakala pemetaan risiko seismik akan dikemas kini secara berterusan menggunakan cerapan pergerakan sesar serta integrasi teknologi moden termasuk kecerdasan buatan (AI).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan