DUNIA

Menteri Luar Malaysia Lakukan Lawatan Kerja Ke Australia Sempena AFMM

10/09/2025 09:37 PM

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan akan mengadakan lawatan kerja dua hari ke Melbourne mulai 11 Sept bagi mempengerusikan bersama Mesyuarat Tahunan Menteri-Menteri Luar Malaysia-Australia (AFMM) kali ketujuh - platform penting untuk menilai dan mengukuhkan kerjasama dua hala – bersama rakan sejawatnya dari Australia, Penny Wong.

Kerjasama itu akan merentasi pelbagai sektor termasuk perdagangan dan pelaburan, pendidikan tinggi dan pendidikan asas, ekonomi hijau, peralihan tenaga bersih, galian kritikal, “Australia-Malaysia Institutional Strengthening Programme” (AMIS), belia dan sukan, permudahan visa, pertahanan serta usaha memerangi jenayah rentas sempadan dan keganasan.

Dalam kenyataan pada Rabu, Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra berkata kedua-dua menteri juga akan bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan global yang berkepentingan bersama, termasuk isu Myanmar, konflik Kemboja-Thailand, Laut China Selatan dan situasi di Gaza.

Menurut Kementerian Luar, kedua-dua menteri juga dijangka membincangkan hubungan dialog ASEAN-Australia yang telah ditingkatkan kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) pada 2021.

Wisma Putra memaklumkan bahawa satu Kenyataan Bersama akan dikeluarkan selepas Mesyuarat Tahunan Menteri-Menteri Luar berkenaan.

Mohamad juga dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Gabenor Victoria, Margaret Gardner.

Menurut Wisma Putra, lawatan kerja itu menegaskan komitmen Malaysia untuk memajukan Perkongsian Strategik Komprehensif dengan Australia, berasaskan asas kukuh saling percaya, saling menghormati dan aspirasi bersama.

Australia merupakan rakan ekonomi penting bagi Malaysia.

Pada 2024, jumlah dagangan dua hala berjumlah RM82.92 bilion, dengan nilai eksport sebanyak RM49.40 bilion dan import sebanyak RM33.53 bilion.

Bagi tempoh Januari hingga Julai 2025, jumlah dagangan Malaysia dengan Australia berjumlah RM44.96 bilion, dengan eksport bernilai RM27.41 bilion dan import sebanyak RM17.55 bilion.

-- BERNAMA

 

TAG: Wisma Putra, Mohamad, Australia, AFMM


MAS MAS MZA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan